Jangan salahkan Muhyiddin jika tak dapat kuota TPM, kata Razali

Jangan salahkan Muhyiddin jika tak dapat kuota TPM, kata Razali

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata isu pelantikan TPM disifatkan sebagai 'sudah selesai' dan parti tidak perlu lagi mendesak untuk diberi jawatan berkenaan.

Razali Idris berkata presiden Bersatu itu telah melakukan yang terbaik menerusi pelbagai rundingan, namun hak melantik TPM adalah hak prerogatif perdana menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pimpinan dan akar umbi Bersatu diminta tidak menyalahkan Muhyiddin Yassin yang gagal mendapatkan kuota jawatan timbalan perdana menteri (TPM) seperti dijanjikan kepada Perikatan Nasional (PN) oleh Ismail Sabri Yaakob, kata seorang pemimpin parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris berkata presiden Bersatu itu telah melakukan yang terbaik dengan mencadangkan calon dari PN menerusi pelbagai rundingan, namun hak melantik TPM adalah hak prerogatif perdana menteri.

“Tan Sri (Muhyiddin) dah bagi nama, jadi hak melantik itu hak eksklusif PM, kalau PM tak mahu lantik, kita terima sajalah. Jadi MPT dan ahli tak boleh desak atau marah sebab Tan Sri dah buat yang dia mampu.

“Bagi saya, untuk jawatan TPM, cukuplah… benda itu dah selesai. Cukuplah kita desak PM dengan jawatan-jawatan yang dijanjikan,” katanya kepada FMT.

Ismail dalam temubual sempena setahun Keluarga Malaysia berkata, tiada keperluan melantik TPM kerana sudah pun disokong oleh empat menteri kanan dalam Jemaah Menteri pimpinannya.

Perdana menteri berkata demikian setelah PN dilapor mahu mengatur pertemuan rasmi untuk mendesaknya menunaikan janji melantik TPM daripada Bersatu.

Bagaimanapun, Razali berpendapat perjumpaan antara wakil PN dan perdana menteri masih perlu diteruskan kerana banyak perkara yang berbangkit masih belum dibincangkan.

Beliau yang juga ketua Bersatu Terengganu bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci perkara berbangkit itu.

“Jangan kata apabila PM dah cakap untuk tidak lantik TPM, maka perjumpaan dengan wakil PN terhenti. Perjumpaan itu perlu ditunaikan segera untuk bincang perkara berbangkit, bukan isu jawatan (TPM) saja.

“Banyak lagi benda yang kita perlu bincang elok-elok,” katanya.

Kalangan pemimpin Bersatu sebelum ini menyelar Ismail kerana dikatakan tidak mematuhi perjanjian yang diikat dengan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berhubung perlantikan TPM dan beberapa perkara lain.

Perjanjian itu dikatakan dimeterai sebelum Ismail dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.