GTA siap sedia pelan B, C hadapi PRU15, kata Marzuki

GTA siap sedia pelan B, C hadapi PRU15, kata Marzuki

Ketua setiausaha GTA berkata, fokus parti dalam masa terdekat ini adalah proses untuk menghantar permohonan logo dan pendaftaran gabungan itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

Ketua Setiausaha GTA Marzuki Yahya berkata, permohonan logo dan pendaftaran gabungan itu dijangka akan dapat dimajukan minggu depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gerakan Tanah Air (GTA) bersedia dengan pelan B dan C bagi menghadapi sebarang kemungkinan berhubung permohonan logo dan pendaftaran gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Ketua setiausahanya, Marzuki Yahya berkata, perkara itu akan dibincangkan, namun fokus dalam masa terdekat ini adalah proses untuk menghantar permohonan logo dan pendaftaran gabungan itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

Marzuki berkata, permohonan itu dijangka akan dapat dimajukan pada minggu depan atau sebelum akhir bulan ini.

“Proses dari segi perlembagaan sudah siap, cuma sekarang untuk mengemukakan permohonan pendaftaran logo yang dikenali sebagai Tanah Air dan pendaftaran gabungan GTA.

“Sekiranya permohonan tidak diluluskan, kita juga ada pelan B dan C. Namun itu kita akan umumkan apabila sampai waktunya.” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sementara itu, Marzuki yang juga timbalan presiden Pejuang berkata, sambutan orang ramai di seluruh negara terhadap GTA amat memberangsangkan.

Katanya, sambutan baik berikutan orang Melayu sedang mencari solusi kerana tidak tahu arah mana hala tuju.

“Maka sebab itulah hadirnya Gerakan Tanah Air sebagai satu hamparan perjuangan orang Melayu.

“Saya yakin gerakan ini akan mendapat sokongan orang-orang Melayu.” tambahnya.

Terdahulu, dilaporkan Pengerusi Penaja GTA, Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya akan menghantar permohonan logo dan pendaftaran gabungan itu kepada JPPM minggu depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.