
Susulan itu, pihaknya memohon Kementerian Dalam Negeri termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya membantu mengesan wanita berkenaan.
Katanya, usaha mengesan wanita terbabit sukar memandangkan dia menggunakan visa pelancongan bagi menunaikan umrah, seperti tular di media sosial, baru-baru ini.
Idris berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan polis memandangkan sehingga kini, pihaknya belum mendapat maklumat lengkap sama ada wanita tersebut masih berada di tanah suci atau sudah pulang ke tanah air.
“Sekarang ini, kita tidak tahu status sebenar wanita ini. Ada kata dia tinggal di Perak, ada pula kata dia duduk di Selangor.
“Maklumat tentang dia pun kita tidak banyak tahu dan mungkin kita akan minta kerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk mengesan wanita ini. Cuma hari itu, di peringkat awal, saya memang ada minta tolong Jabatan Imigresen dan kali ini kita perlu mengesannya sebelum tindakan tegas diambil,” lapor Utusan Malaysia.
Terdahulu, isu wanita yang lengkap memakai ihram lelaki sewaktu menunaikan umrah di Mekah tular dalam media sosial dan menimbulkan perasaan kurang senang masyarakat Islam di negara ini.
Mengulas lanjut, Idris berkata, kerajaan Arab Saudi juga tidak dapat mengesan individu terlibat memandangkan tiada sebarang rekod jenayah untuk membolehkannya ditahan pihak berkuasa negara berkenaan.
Dalam pada itu, ditanya mengenai penganjuran konsert hiburan berterusan, Idris berkata, ia tidak sewajarnya diadakan selepas negara baharu sahaja beralih ke fasa peralihan endemik.
“Sepatutnya tak perlu konsert bertalu-talu, cukuplah setakat hiburan yang ada sekarang di negara ini. Dalam keadaan ekonomi yang teruk, kenapa mesti nak bayar mahal untuk tengok konsert,” katanya.