
Misi itu: menjejak saki-baki ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di China, terutamanya Shamsiah Fakeh, anggota Rejimen ke-10 PKM, yang semua wakilnya dari kaum Melayu.
Jamaludin Hasan, 68, mengimbau semula pengalaman empat tahun di China untuk mempelajari ekonomi moden negara itu di People’s University of China, bermula dengan pengajian bahasa di Foreign Studies University (FSU), Beijing.
Ketika belajar Mandarin, beliau berpeluang bertegur sapa dengan segelintir pemimpin masa depan China.
“Tiada siapa tahu saya dalam pasukan tentera,” kata pesara askar itu kepada FMT dalam temu bual di kediamannya di Putrajaya, baru-baru ini.
“Saya dihantar ke sana untuk menjejak elemen Regimen 10 PKM di China.
“Kami perlu mendapat maklumat langsung daripada sumber bukan bergantung kepada maklumat terpakai,” katanya merujuk kepada maklumat daripada perisikan British selain khabar angin daripada orang lain.
Di FSU, beliau dapat mengumpul maklumat mengenai lokasi Shamsiah yang membawanya ke rumahnya di daerah Nansha terletak di wilayah Guangdong.
Menurut Jamaludin, Shamsiah pernah mengajar bahasa Melayu di FSU untuk tempoh singkat dan menjalin hubungan baik dengan Profesor Wu yang fasih berbahasa Melayu tetapi tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia.
“Wu yang membantu menghubungkan saya dengan Shamsiah,” katanya.
Shamsiah, yang dipanggil ibu oleh Jamaludin, seorang yang berkarisma, pandai membaca dan alim.
Beliau telah tinggal di China sejak 1956, untuk memperluaskan pengetahuannya tentang fahaman komunisme kerana PKM memerlukan kader Melayu melakukannya, menurut memoirnya.
Shamsiah memberitahu rasa rindunya untuk kembali ke Malaysia dan bersedia dipenjarakan, ini kerana kebimbangan pihak berkuasa mengenai kemampuannya menghidupkan semula fahaman komunisme di negara ini.
“Beliau rindu Malaysia dan kampungnya, Kuala Pilah. Beliau membayangkan dirinya berada di kediamannya ketika kecil sambil memerhatikan pokok manggis dan rambutan.
“Beliau merasakan Malaysia adalah tempat asalnya, bukan China. Beliau telah memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada British.”
Persahabatan Jamaludin dengan Shamsiah juga membolehkannya membongkar beberapa kebenaran yang menyangkal dakwaan dilemparkan kepadanya, termasuk dakwaan Shamsiah mengetuai Rejimen ke-10.
Dalam memoirnya, yang diterbitkan pada 2007, Shamsiah berkata beliau dipecat oleh PKM berikutan perubahan dalam parti yang berlaku pada 1968.
Beliau dibenarkan tinggal di China kerana mereka melayannya sebagai tetamu dan bekas pejuang anti-imperialis. Bagaimanapun, dia tidak mempunyai pasport selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957.
Pemberontakan komunis berakhir selepas kerajaan dan PKM menandatangani perjanjian damai di Hat Yai pada 1989.
Shamsiah berkata, beliau telah merayu kepada kedutaan Malaysia di Beijing pada 1985 untuk kembali ke Malaysia tetapi usahanya sia-sia.
Jamaludin berkata, pertemuannya dengan Shamsiah menjadi sebahagian daripada proses penting yang menyebabkan kerajaan ditadbir perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengatur agar Shamsiah kembali ke Malaysia sebagai warganegara bebas.
Beliau mendakwa tugasnya itu dianggap rahsia besar dan terpaksa menandatangani perjanjian untuk tidak bercakap mengenainya selama 20 tahun. Jamaludin juga tidak pernah memberitahu Shamsiah siapa dirinya yang sebenar.
Shamsiah kembali ke Malaysia pada 1994, pada tahun yang sama Jamaludin bersara daripada tentera. Beliau meninggal dunia pada 2008 di usia 84 tahun.
Ditanya sama ada dirinya merasa berkonflik kerana perlu berkawan dengan seseorang yang pada dasarnya adalah ‘musuh’nya, Jamaludin berkata “tidak sama sekali”.
Beliau mengakui dirinya adalah seorang lelaki “yang menyelesaikan tugasnya, bergerak ke perkara seterusnya”.
Namun begitu, Jamaluddin ‘terpikat’ dengan Shamsiah yang dirasakannya mempunyai ciri-ciri sebagai menteri Kabinet. “Beliau seorang yang lantang, berpendidikan dan suaranya mempunyai semangat perjuangan.”