
Ketua Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, ia kelihatan seperti “pendakwaan terpilih” untuk mematahkan semangat anak muda daripada menyuarakan kebimbangan mereka.
“Kalau inilah trend serta perancangan kerajaan hari ini untuk mematahkan semangat dan mematahkan kemajuan pimpinan anak muda, masa depan anak muda tergugat dan nasib Malaysia amatlah gelap,” katanya dalam kenyataan.
Khamis lalu, Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda, Ketua Pemuda PKR Batu, Sabda Suluh Lestari Yahya dan aktivis pelajar, Aliff Naif Mohd Fizam didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kegagalan memaklumkan polis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan protes bulan lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 di Mahkamah Majistret berbeza di ibu negara.
Raja Kamarul mempersoalkan bagaimana generasi akan datang boleh berkembang maju, jika pendakwaan sedemikian diteruskan.
“Merdekakah minda anak muda kita, jika berjuang berdemontrasi aman membantah harga barang naik menjadi kesalahan dan diheret ke mahkamah?
“Jika kebebasan suara anak muda terus dikongkong dan mereka terus diheret ke mahkamah kerana membela nasib rakyat, tiada masa depan untuk mereka dan apakah erti laungan merdeka pada 31 Ogos nanti?”
Tuduhan ke atas Hasbie berkaitan perhimpunan yang didakwa dianjurkannya di Masjid Jamek, Kampung Baru pada 1 Julai lalu, manakala Sabda didakwa berhubung bantahan di hadapan pusat beli-belah Sogo pada 9 Julai lalu.
Aliff pula didakwa terbabit dalam bantahan terhadap kenaikan harga barang yang diadakan di hadapan pusat beli-belah Sogo pada 23 Julai lalu.
Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 Sept ini.
Pemuda Pakatan Harapan kemudiannya menyelar pihak berkuasa kerana mendakwa ketiga-tiga belia itu yang dikatakan “bermotifkan politik” dan bertujuan “menakut-nakutkan anak muda”.
Mereka menggesa pertuduhan itu digugurkan kerana ia adalah pembaziran sumber mahkamah.