PAC akan panggil ketua setiausaha Kementerian Pertahanan Oktober ini

PAC akan panggil ketua setiausaha Kementerian Pertahanan Oktober ini

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata tindakan itu merupakan prosedur biasa, bukan untuk LCS sahaja tetapi untuk kes-kes yang disiasat dan dibentangkan laporan oleh PAC.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata PAC akan mengatur satu tarikh pada bulan Oktober ini untuk membolehkan KSU Kementerian Pertahanan tampil ke PAC bagi memberikan maklum balas.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula ketua setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan bagi mendapatkan perkembangan mengenai syor-syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu berhubung projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, PAC akan mengatur satu tarikh pada bulan Oktober ini untuk membolehkan KSU Kementerian Pertahanan tampil ke PAC bagi memberikan maklum balas.

Beliau berkata, secara prosedurnya, KSU diberikan masa dua bulan untuk memberi maklum balas kepada jawatankuasa itu selepas syor berkenaan dibentangkan di Parlimen 4 Ogos lepas.

“Ini merupakan prosedur biasa, bukan untuk LCS sahaja tetapi untuk kes-kes yang disiasat dan dibentangkan laporan oleh PAC.

“Selepas itu PAC akan membuat satu laporan terhadap tindakan susulan tersebut dan memberikan ulasan serta komen PAC yang selanjutnya berkenaan laporan kita.” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika meninjau kerja menaik taraf infrastruktur di Taman Pinggir Sungai Pinji, Ipoh.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, ada antara syor PAC yang telah pun dilaksanakan kerajaan iaitu nyah klasifikasi atau nyahrahsia Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Ambrin Buang.

Terdahulu, katanya, laporan itu telah dinyah rahsiakan walaupun dengan sedikit pemadaman berkaitan pemegang saham dan pengarah bagi syarikat-syarikat yang terbabit.

“Bagi saya, maklumat mengenai siapa pemegang saham, siapa pengarah dalam syarikat-syarikat yang terlibat dalam LCS merupakan maklumat terbuka yang boleh diperoleh oleh sesiapa sahaja daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Tindakan kerajaan memadam maklumat dalam laporan yang telah dinyah rahsia itu amat tidak perlu kerana bagi saya ia maklumat yang terbuka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.