
Mangsa adalah Titah Abd Ghani, 58 dan anak perempuannya, Samsiah Abdullah, 21.
Suami Samsiah, Mohd Fahmi Aizat Mokhtar, 24, yang memandu Proton Wira dinaiki mereka dilaporkan cedera.
Turut cedera, tiga lagi individu dalam Proton Saga yang juga terbabit dalam kemalangan itu iaitu Junaidah Muhmad, 48; Liqwan Shah Nasution Lindung Saputra, 26, dan Lizwan Sharel Nasution Abdullah, 18.
Komander Operasi Bomba Kota Tinggi Ibrahim Wahid, berkata sebuah jentera dan van EMRS dengan kekuatan 10 anggota dikerah ke tempat kejadian sebaik Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan pada jam 10.51 pagi.
Katanya, setiba di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kemalangan yang berlaku membabitkan Proton Saga dan Proton Wira.
“Terdapat empat mangsa berjaya keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba dan dua wanita tersepit dalam Proton Wira,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, PKO bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.
Katanya, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) menggunakan van EMRS serta ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Operasi kemudian ditamatkan pada 12.15 tengah hari.
Difahamkan, Proton Wira dinaiki mangsa yang maut dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, sebelum terbabit kemalangan.
Ketika dihubungi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi mengesahkan kemalangan, namun memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.