
Ketua Pegawai Eksekutif EcoMy, Andrew Sebastian berkata, sebelum sebarang kerosakan berlaku, pihak berkuasa tempatan perlu mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta sehingga EIA mandatori dijalankan dan penemuan dilaporkan.
Pada 8 Ogos lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong di Dewan Rakyat berkata, laporan EIA tidak pernah dikemukakan untuk projek seluas 553ha itu.
Khoo sebelum ini menggesa projek itu dihentikan sehingga siasatan dibuat terhadap status laporan EIA.
Sebastian memberitahu FMT, pihak berkuasa Melaka dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu mendedahkan perkembangan penebusgunaan setakat ini.
Beliau bertanya sama ada pihak berkuasa membuat sebarang pemeriksaan kerana pelik untuk projek itu dijalankan di bawah pemantauan JAS.
“Tebus guna yang besar melibatkan tanah lembap dan kawasan pesisir pantai berharga dilakukan tanpa memahami kesan jangka pendek dan panjangnya serta hakisan pantai adalah perbuatan sia-sia. Ini akan memberi kesan kepada pantai negeri jiran juga,” katanya.
Presiden Sahabat Alam Malaysia, Meenakshi Raman berkata, JAS mesti mengawasi dengan teliti aktiviti penebusgunaan dan menghentikan tindakan menyalahi undang-undang dalam projek Melaka Gateway.
“Ia juga penting untuk menyemak dan menilai keperluan projek mega seperti itu, terutamanya ketika dunia berdepan kemelesetan (ekonomi) yang besar.
“Semua dakwaan mengatakan boleh menarik berjuta-juta pelancong dan mewujudkan pekerjaan hanya janji palsu yang tidak masuk akal dari aspek ekonomi.”
Katanya, aduan nelayan dan komuniti lain di kawasan terbabit tidak boleh diabaikan kerana kurang bijak untuk menjejaskan warisan budaya masyarakat Kristang di Perkampungan Portugis.
“Kesan buruk alam sekitar dan sosial yang sudah berlaku akibat projek pesisir pantai mesti dinilai,” katanya.
Pencinta alam sekitar, Anthony Tan berkata, kajian impak sosial sepatutnya dilakukan lebih awal memandangkan kawasan tebus guna yang berhampiran ibu negeri itu merupakan bandar Warisan Dunia Unesco.
Katanya, kesan buruk penebusgunaan terhadap penangkapan ikan boleh dirasai sehingga Tanjung Keling kerana aktiviti mengorek pasir dibuat di sepanjang pesisir pantai Melaka itu.
Projek pembangunan bercampur Melaka Gateway sepatutnya dibina atas empat pulau buatan dengan elemen kediaman, komersial, budaya, hiburan dan gaya hidup. Ia dijangka mempunyai marina persendirian terbesar di Asia Tenggara menjelang 2025.
FMT telah menghubungi Melaka Gateway dan pihak berkuasa negeri untuk mendapatkan komen.