
Beliau berkata, penjelasan mengenai kedua-dua perkara itu juga harus dipertingkatkan supaya rakyat mendapat maklumat tepat.
Katanya, program seperti “Jom Masuk Kampung” antara platform sangat baik untuk menjelaskan kepada rakyat dasar kerajaan, selain mampu merapatkan silaturahim penduduk sejajar aspirasi Keluarga Malaysia.
“…banyak dasar diumumkan kerajaan dan kejayaan yang dicapai kerajaan, tetapi apabila ia tidak dijelaskan kepada rakyat, rakyat keliru, terutamanya apabila ada kempen anti-kerajaan atau pelbagai fitnah (terhadap kerajaan).
“Ini boleh menyebabkan rakyat keliru dan mereka (rakyat) tidak boleh dipersalahkan apabila keliru kerana informasi tidak sampai kepada mereka,” katanya semasa berucap merasmikan Program Jom Masuk Kampung dan Hari Potensi Kemas Daerah Bera 2022 di Felda Triang 3.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Ramlan Harun, Ketua Pengarah Kemas, Mohamad Yasid Bidin dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Norolazali Sulaiman.
Program tiga hari bermula 18 Ogos lalu, antara lain melibatkan penganjuran pelbagai aktiviti dengan penyertaan agensi kerajaan dan masyarakat setempat, seperti hebahan program kerajaan, gotong-royong, ceramah agama, pertandingan sukan dan ziarah kasih.