Bicara mesti diteruskan, kata TPR selepas cubaan gugur kes Nhaveen ditolak

Bicara mesti diteruskan, kata TPR selepas cubaan gugur kes Nhaveen ditolak

Pihak pendakwaan menolak usul pembelaan, selepas peguam menyebut seorang saksi utama mengaku membuat laporan palsu.

Selepas saksi utama, T Praviin (tengah) mengaku membuat laporan polis palsu, peguam bela cuba menggugurkan kes itu, tetapi ditolak.
GEORGE TOWN:
Permohonan peguam pembelaan supaya kes pembunuhan T Nhaveen digugurkan telah ditolak pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi diberitahu.

Timbalan Pendakwa Raya, Amril Johari berkata, pihak pendakwaan berpendapat kes itu mesti diteruskan.

“Kami merasakan mahkamah harus membuat keputusan berdasarkan bukti yang dikemukakan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata, peguam bela utama, Naran Singh telah membuat representasi supaya kes itu digugurkan, selepas saksi utama, T Previin, 23, mendakwa laporan polis yang dibuatnya tahun lepas “bukan miliknya”.

Dalam laporan itu, Previin cuba mengemas kini butiran yang hilang daripada laporan pertamanya pada 2017 yang memperincikan pergelutan menyebabkan dia cedera dan Nhaveen meninggal dunia.

Dalam laporan terbaharu bertarikh 22 Mei 2021, Previin mendakwa kira-kira 20 orang membelasah Nhaveen. Dia menamakan beberapa tertuduh dan individu lain yang terlibat dalam kejadian itu pada 9 Jun 2017.

Perbicaraan semalam hanya mengenai representasi dan keputusan oleh Jabatan Peguam Negara.

Perbicaraan akan diteruskan 14 hingga 16 Sept dan 19 hingga 23 Sept ini.

S Gopinaath, 30, J Ragesuthan, 22, S Gokulan, 22, dan dua individu lain didakwa membunuh Nhaveen. Dua individu yang tidak dinamakan itu berstatus juvana ketika kejadian berlaku.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di taman Jalan Bunga Raya pada 9 Jun 2017, antara 11 malam hingga 12 tengah malam.

Mereka berempat turut didakwa melakukan serangan ke atas Previin berhampiran Karpal Singh Learning Centre di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor, antara 11 malam hingga 12 tengah malam mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.