Ahli Majlis Perwakilan Penduduk diingat waspada kendali dana awam

Ahli Majlis Perwakilan Penduduk diingat waspada kendali dana awam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata mereka mudah terdedah kepada tuntutan palsu dan ditawar suapan.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Ramli Hassan, berkata Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) berisiko tinggi terdedah rasuah.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam mengendalikan dana awam yang diterima berikutan mereka berisiko tinggi terlibat dalam kesalahan membuat tuntutan palsu dan ditawarkan rasuah.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ramli Hassan, berkata setiap Ahli MPP perlu memastikan perbelanjaan dana diterima dilaksanakan mengikut penetapan garis panduan dan disalurkan kepada yang berhak kerana mereka bertanggungjawab jika berlaku sebarang penyalahgunaan.

“Kesalahan bagi membuat tuntutan palsu dan tidak melaporkan kesalahan rasuah ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009,” katanya memetik Bernama dalam Dialog SPRM Bersama MPP Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Unit Pembangunan Komuniti Jabatan Pembangunan Komuniti dan Masyarakat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Muhammad Hasif Husin, berkata MPP merupakan medium terbaik untuk SPRM mendekatkan diri kepada masyarakat.

Beliau berkata MPP, yang merupakan pemimpin akar umbi, mampu menyalurkan maklumat kesedaran berhubung jenayah rasuah dengan lebih berkesan memandangkan urusan harian mereka yang dekat dengan masyarakat.

“Aduan dan maklumat mengenai rasuah serta salah guna kuasa berkaitan isu-isu tempatan juga boleh disalurkan kepada SPRM dengan lebih berkesan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.