
Suspek berusia 35 tahun ditahan polis di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur, semalam
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata suspek ditahan kira-kira 9 malam selepas polis menerima laporan daripada wanita berkenaan.
Katanya, kejadian dipercayai berpunca apabila wanita berkenaan menerima panggilan daripada suaminya yang tidak berpuas hati apabila mangsa memfailkan perceraian.
“Suspek membuat ugutan dengan mengatakan ‘akan memastikan pengadu mati dan cacat seumur hidup’. Ugutan itu mendatangkan ketakutan kepada pengadu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.