
Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata, segelintir peguam tidak selesa untuk melaporkan transaksi mencurigakan kerana bimbang melanggar keistimewaan peguam-klien.
Pada perbincangan panel di Forum Anti-Rasuah 2022, beliau memberi amaran bahawa jika kegiatan pengubahan wang haram dibiarkan, ia akan menyumbang kepada peningkatan rasuah di negara ini.
“Sebab itu kami berharap semasa sidang kemuncak G20 di Indonesia, akan ada perbincangan mengenai pewujudan standard dan mekanisme untuk melindungi peguam dalam kes di mana anak guam mereka disyaki menjalankan kegiatan (pengubahan wang haram),” katanya.
Timbalan Ketua Pengarah Pusat Jenayah Anti-Kewangan Kebangsaan (NFCC) Kamal Baharin Omar berkata, peguam perlu memfailkan laporan transaksi mencurigakan (STR) terhadap anak guam mereka jika menyedari sesuatu yang meragukan berlaku.
Tambahnya, NFCC akan terlebih dahulu terlibat urus dengan Majlis Peguam Malaysia dan mengesan jejak wang terbabit sebelum mengambil tindakan atau meminta mereka melanggar keistimewaan peguam-klien.
“Penting untuk terlibat urus dengan mereka yang terbabit dan tidak terus terjah kerana banyak perkara menjadi pertaruhan. Memang mencabar untuk mencari keseimbangan itu,” katanya.
Beliau menambah, terdapat beberapa peguam yang telah memfailkan STR setakat ini, namun beliau tidak mendedahkan angka yang tepat.
Peguam Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie berkata, masih wujud kebimbangan dalam kalangan fraterniti guaman walaupun mereka dianggap dilindungi bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Akta ini mengenakan kewajipan pelaporan ke atas institusi pelapor sebagai langkah balas untuk mencegah atau mengurangkan pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan.
“Salah satu cabaran terbesar adalah cuba mencari keseimbangan antara memfailkan STR dan melanggar keistimewaan peguam-klien,” katanya.
Beliau berkata, peguam memfailkan STR apabila perlu walaupun timbul kebimbangan berterusan bahawa perkara yang dibangkitkan akan dicabar di Mahkamah Persekutuan dan memakan diri mereka.
“Perkara terakhir yang kami mahu adalah kami atau firma menanggung liabiliti kerana memfailkan STR. Kami perlu lebih banyak perlindungan,” katanya.