
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein telah mengarahkan BHIC berbuat demikian.
“Laporan tersebut akan menjelaskan lagi aspek dan dalang penyelewengan dan korupsi yang berlaku.
“Siapa agaknya yang menangguk di air yang keruh dan menjadi dalang kepada kelewatan ini? Kita tunggu pendedahan Laporan Forensik Audit ini,” katanya di Facebook.
Katanya, beliau mendapat penjelasan daripada Hishammuddin selepas mesyuarat Barisan Nasional (BN) di Johor Bahru, hari ini
Perolehan enam kapal LCS menarik perhatian berikutan pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), dua minggu lalu.
PAC membuat kesimpulan bahawa menteri pertahanan ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi, meluluskan reka bentuk LCS yang berlainan seperti dihajatkan tentera laut.
PAC juga menggariskan banyak masalah dihadapi kontraktor dipilih Zahid sehingga menyebabkan kelewatan projek itu.
Menurut Hishammuddin, LCS pertama dijangka siap pada 2024 – lima tahun lewat daripada yang dijanjikan pada awalnya.