
Katanya, beliau sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) melakukan siasatan berhubung elemen ancaman.
Beliau berkata, perkara itu adalah isu serius dan siasatan terhadap kes ancaman sedang dilaksanakan meskipun tiada sebarang laporan polis dibuat.
“Saya sudah mengarahkan JSJ Bukit Aman memulakan siasatan dengan meneliti segala ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara dan siasatan sama turut membabitkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
“Polis semestinya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perkara yang membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman awam yang boleh mengganggu-gugat keamanan,” katanya menurut Harian Metro.
Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai medium laman sosial termasuk aplikasi Twitter dan Facebook, sejak tengah malam tadi.
Terbaharu, terdapat pengguna di Facebook mengugut pembunuh upahan akan mencari ketua hakim negara jika hukuman dijatuhkan kepada individu tidak bersalah.
Tengku Maimun merupakan pengerusi bagi panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan akhir yang sedang berlangsung membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak, untuk membatalkan sabitannya berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Nalini Patmanathnan, Mary Lim Thiam Suan serta Mohamad Zabidin Mohd Diah.