
Dalam kejadian sekitar 9 pagi, mangsa Hi Sieh King, 61, manakala rakannya lelaki warga Indonesia belum dikenal pasti identitinya meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis Wan Umar Wan Alek berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran sebuah lori di Jalan Semalau menghala ke Kampung Jerijih, 9.15 pagi dan menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian yang jaraknya 18 kilometer.
“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat jengkaut yang dibawa sebuah lori tersangkut pada kabel aliran elektrik dan tayar depan sebelah pemandu lori berkenaan terbakar. Didapati dua mangsa terbaring di bawah tepi lori sebelah pemandu dipercayai terkena renjatan elektrik,” katanya menurut Bernama.
Menurutnya operasi pemadaman bagaimanapun tidak dapat dilakukan serta-merta kerana masih ada aliran elektrik pada kedua-dua kenderaan tersebut sehingga mendapat makluman daripada syarikat pembekal elektrik Sarawak untuk memutuskan bekalan.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayat diserahkan kepada polis Belawai untuk tindakan lanjut.