Jangan guna penjawat awam sebagai ‘alat propaganda’, PM diberitahu

Jangan guna penjawat awam sebagai ‘alat propaganda’, PM diberitahu

Pemuda PH berkata gesaan Ismail Sabri Yaakob supaya penjawat awam mempertahankan kerajaan daripada dakwaan, sama dengan salah guna kuasa.

Ismail Sabri Yaakob bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gesaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya penjawat awam mempertahankan kerajaan daripada tuduhan akan menyebabkan mereka digunakan sebagai “alat propaganda” untuk melonjakkan imej Barisan Nasional (BN), kata Pemuda Pakatan Harapan (PH).

Pemuda PH berkata, tindakan Ismail itu sama dengan salah guna kuasa.

“Sebarang cubaan untuk menggunakan penjawat awam mempertahankan kerajaan mesti ditolak sekeras-kerasnya,” katanya dalam kenyataan.

“Penjawat awam harus berpegang kepada prinsip berkecuali dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan tidak terjejas, walaupun terdapat perubahan dalam kepimpinan.”

Kenyataan itu ditandatangani Ketua Pemuda PH dan DAP Dr Kelvin Yii, Ketua Pemuda PKR Adam Adli, Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda dan Ketua Pemuda Upko Felix Joseph Saang.

Ia menyatakan bahawa selepas PH mengambil alih Putrajaya pada Mei 2018, berikutan kemenangannya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Jemaah Menteri memutuskan untuk melarang penjawat awam terlibat dalam politik bagi memastikan mereka kekal berkecuali dalam semua urusan pentadbiran.

Bekas kerajaan PH juga memperkenalkan peraturan untuk melarang penjawat awam tertinggi, serta mereka yang mempunyai peranan pengurusan dan profesional, daripada terlibat dalam politik.

Pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Selasa lalu, Ismail berkata, wajar bagi penjawat awam mempertahankan kerajaan daripada dakwaan bahawa kerajaan bawah pentadbirannya gagal.

Mengenai dakwaan bahawa polis dikaitkan dengan rangkaian akaun dan laman media sosial palsu yang cuba meningkatkan sokongan kepada kerajaan dan menjatuhkan pembangkang, Pemuda PH berkata, mesej Ismail kepada penjawat awam hanya menambah kepercayaan kepada dakwaan tersebut.

Ia turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu, sambil berkata ia akan membantu memulihkan integriti polis.

Awal bulan ini, Meta, syarikat yang memiliki Facebook dan Instagram berkata, ia memadam 596 akaun Facebook, 180 laman, 11 kumpulan dan 72 akaun Instagram kerana melanggar polisi terhadap “koordinasi perlakuan tidak sahih”, yang mendakwa ia dikaitkan dengan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.