Enggan terus terima amal jariah, bapa mahu cari kerja sara keluarga berpenyakit

Enggan terus terima amal jariah, bapa mahu cari kerja sara keluarga berpenyakit

Bekas ejen hartanah itu kini menampung kehidupannya sekeluarga dengan bantuan kebajikan serta bantuan keluarga dan rakan.

Robin Yap dan isterinya, Nar Lay Heong, di rumah mereka di Semenyih.
PETALING JAYA:
Apabila pasaran hartanah membeku akibat sekatan pergerakan berkait Covid-19, Robin Yap kehilangan cara untuk menampung hidup keluarganya yang ditimpa penyakit.

Ejen hartanah berusia 59 tahun itu ialah pencari nafkah tunggal ketika wabak itu melanda pada 2020.

Apabila kehabisan hampir semua simpanannya dalam KWSP, beliau terpaksa meminta pertolongan keluarga dan rakan-rakan untuk menampung belanja isi rumahnya dan kos perubatan.

Keadaan menjadi lebih buruk bagi Yap sekeluarga apabila beliau kehilangan separuh kaki kirinya akibat diabetes September lepas ketika beliau sedang mencari kerja, tanpa sebarang hasil.

Kemudian, anak bongsunya meninggal dunia pada usia 17 tahun akibat penyakit distrofi otot Duchenne, yang menyebabkan kemerosotan otot secara progresif.

Wang simpanannya juga digunakan untuk merawat isterinya, Nar Lay Heong, yang menghidap lupus, penyakit di mana sistem imun badan menyerang tisu dan organnya sendiri, tidak lama kemudian.

Selain itu, Yap perlu menjaga dua lagi anaknya, seorang mengalami autisme dan seorang lagi dengan masalah kesihatan mental.

Yap berkata, beliau memerlukan kira-kira RM4,000 sebulan untuk menyara keluarganya.

Beliau sedang mencari pekerjaan yang tidak memerlukannya bergerak agar beliau dapat bekerja dari rumah.

Yap berminat dengan kerja-kerja memasukkan data atau berkaitan jualan dan pembangunan perniagaan.

Setakat ini, beliau cuba menampung kehidupan dengan bantuan kebajikan bulanan RM300 serta kemurahan hati rakan dan keluarga.

Namun, kemurahan hati orang lain menyebabkan beliau rasa tidak selesa.

“Saya tidak boleh terus terima (sumbangan orang lain). Saya rasa sangat teruk,” katanya.

“Dan saya rasa sedih apabila beberapa rakan saya beritahu mereka tak dapat hantar wang kepada saya sepanjang masa. Saya rasa saya membebankan mereka.”

Inilah sebabnya Yap berazam untuk mencari pekerjaan. Selain bertujuan memperoleh pendapatan, ia juga akan menjadi terapi baginya.

“Ia akan memberi saya sesuatu yang lain untuk difokuskan selain daripada menjaga isteri dan anak-anak saya

“(Pekerjaan) akan beri fokus yang lain bagi saya, selain menjaga isteri dan anak-anak,” katanya.

Jika anda ingin membantu Robin Yap dan keluarganya, mesej kami di WhatsApp FMT Helpline 019-3899 839.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.