Merit patut jadi asas pelantikan dalam GLC, kata pakar

Merit patut jadi asas pelantikan dalam GLC, kata pakar

Kriteria ini mesti dipenuhi, sama ada bagi ahli politik atau bukan, kata Michele Kythe Lim daripada Institut Pengarah Korporat Malaysia.

Penting untuk semua jenis syarikat mempunyai proses yang jelas, ketat dan telus bagi mengenal pasti dan melantik ahli lembaga pengarah, kata Michele Kythe Lim. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Pelantikan ke lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) haruslah berdasarkan kelayakan dan meritokrasi, menurut Institut Pengarah Korporat Malaysia.

Kriteria ini mesti dipenuhi, sama ada mereka ahli politik atau bukan, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Presidennya Michele Kythe Lim

Beliau berkata, penilaian luaran yang objektif dan tersusun dengan baik akan menjana perbualan yang tepat untuk mengenal pasti penambahbaikan yang diperlukan dalam kriteria pelantikan lembaga pengarah GLC.

“Penting untuk semua jenis syarikat pelbagai saiz mempunyai proses yang jelas, ketat dan telus bagi mengenal pasti dan melantik calon pengarah tepat yang boleh membawa nilai,” kata Lim kepada FMT Business.

Terence Gomez.

Dalam wawancara dengan FMT, ahli ekonomi Terence Gomez mencadangkan Putrajaya agar mempertimbangkan menghalang ahli politik daripada dilantik menjadi ahli lembaga pengarah GLC.

Beliau memberi komen sebagai respons kepada pendedahan kerajaan bahawa rang undang-undang (RUU) pendanaan politik yang sedang digubal boleh termasuk peruntukan untuk melarang sumbangan kepada parti politik daripada GLC yang mempunyai kontrak dengan kerajaan.

Pelantikan politik dalam GLC ialah satu amalan lazim di Malaysia. Ramai ahli politik dikatakan dilantik untuk mengetuai GLC sebagai balasan bagi kerja-kerja dilakukan untuk parti yang menang, atau untuk meraih sokongan yang memihak kepada pemimpin parti.

Bagaimanapun, isu itu bukan sesuatu yang telah dimuktamadkan.

Beberapa GLC ditubuhkan untuk memenuhi keperluan awam, dan ahli politik, sebagai wakil rakyat, berada di kedudukan yang lebih baik untuk memastikan objektif tersebut tercapai.

Namun begitu, isu ini terus timbul, dan pelbagai dakwaan mengenai konflik kepentingan mendominasi tajuk berita utama atau media sosial apabila pelantikan sedemikian dibuat.

Contohnya, pada Februari 2020, kebuntuan politik berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akhirnya selesai apabila beberapa Ahli Parlimen melompat. Ada yang membuat kesimpulan bahawa langkah ini diambil sebagai balasan untuk janji jawatan dalam Jemaah Menteri atau kedudukan dalam lembaga pengarah GLC.

Sejurus selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Februari 2020, empat ahli politik dilantik mengetuai GLC.

Mereka termasuk Ahli Parlimen Padang Terap Mahdzir Khalid di Tenaga Nasional Bhd (TNB), ADUN Lumut Zambry Abd Kadir di Malaysia Airports Holdings Bhd, bekas menteri besar Johor Khaled Nordin di Boustead Holdings Bhd and ADUN dua penggal Megat Najmuddin Megat Khas di Sime Darby Plantation Bhd.

Pada Ogos 2021, Mahdzir meninggalkan TNB untuk menjadi menteri pembangunan luar bandar. Pada bulan yang sama, Khaled juga meninggalkan Boustead.

Seperti yang diberitahu Gomez kepada FMT Business dalam wawancara sebelumnya, penyalahgunaan bermula apabila ahli politik mengorak langkah untuk mendapatkan jawatan.

Sebaik dilantik, mereka diharap akan memberikan kontrak kepada penyokong mereka yang kemudiannya dijangka menggunakan dana itu untuk membiayai kegiatan politik, tambahnya.

Namun begitu, beliau mengakui sistem GLC di Malaysia bukanlah tiada meritnya kerana ia boleh dimanfaatkan untuk kebaikan awam ketika krisis, memandangkan ia tidak bertanggungjawab mencari keuntungan semata-mata.

Beliau berkata, ketika wabak Covid-19 melanda, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menggunakan pelbagai GLC, seperti bank serta syarikat utiliti dan telekomunikasi, untuk membantu dengan menawarkan moratorium pinjaman dan diskaun.

Bank Dunia menyatakan bahawa di banyak negara, perusahaan milik negara membantu mengekalkan rakyat bekerja dan menghidupkan ekonomi. Ada antaranya yang terlibat dalam perjuangan melawan Covid-19 dengan menghasilkan ventilator, pelitup muka dan vaksin.

Namun, menjadi masalah apabila GLC disalah guna sebagai sumber pembiayaan tanpa had untuk ahli politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.