
Kejadian berlaku pada 7.55 malam ketika mangsa berusia 16 tahun cuba pertahankan ibunya daripada dipukul lelaki tersebut.
Ketua Polis Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian mangsa melihat pertengkaran antara ibunya dengan suspek berusia 50 tahun berkaitan isu wang.
“Suspek menyuruh ibu pengadu meminta wang daripada ahli keluarga yang lain, namun wanita terbabit enggan berbuat demikian menyebabkan lelaki itu marah dan menarik rambut ibu mangsa.
“Lelaki itu kemudian meminta pengadu menemani ibunya ke rumah ahli keluarga lain namun dia enggan, menyebabkan bapanya marah lalu menjerit menggunakan kata-kata kesat.
“Malah, suspek juga bertindak menampar kepala sebelah kanan, menolak badan, memukul serta memijak kepala anak perempuannya itu. Pengadu kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampang,” katanya menurut Harian Metro.
Susulan itu, polis menahan suspek di tepi jalan Jalan Saga 6A, Taman Saga, 4 pagi tadi.
“Kejadian berlaku disebabkan perselisihan faham dalam keluarga mengenai isu duit. Suspek tidak berpuas hati apabila pengadu tidak mendengar arahannya.
“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 yang merujuk kepada sengaja menyebabkan kecederaan.