
Pemangku Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 10 pagi berhubung kejadian itu dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di sebuah rumah, didapati seorang lelaki terbaring berlumuran darah di dapur dengan kesan tikaman, manakala seorang lagi lelaki berada di luar rumah (dalam keadaan tergantung). Siasatan awal mendapati kedua-duanya merupakan adik-beradik yang bertengkar di rumah itu.
“Isteri kepada lelaki pertama (adik) dipercayai cuba menenteramkan keadaan sehingga luka di ibu jari kanannya. Kami masih melakukan siasatan untuk mengetahui punca pergaduhan. Menurut saksi, mereka kerap dengar pergaduhan di rumah ini,” katanya di lokasi kejadian.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati suspek, 70, yang bekerja sebagai pemandu teksi dipercayai bertengkar dan kemudian menikam adiknya, 67, seorang pesara, sebelum menggantung diri di luar rumah dan pihaknya turut menjumpai pisau kecil berdekatannya.
“Sewaktu kejadian, ada beberapa ahli keluarga. Keterangan akan direkodkan untuk tujuan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya sambil menambah mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.