15 jam terkandas di pulau, 5 pemancing diselamatkan APMM

15 jam terkandas di pulau, 5 pemancing diselamatkan APMM

Kesemua pemancing tersebut terkandas di Pulau Batu Berantai akibat cuaca buruk.

Semua mangsa berjaya diselamat dan dibawa naik ke dalam helikopter AW139 dengan menggunakan teknik ‘winching’. (Gambar Maritim)
PETALING JAYA:
Sebuah helikopter maritim terpaksa digunakan untuk menyelamat lima pemancing yang terkandas kira-kira 15 jam di Pulau Batu Berantai, kira-kira 1.4 batu nautika di barat laut Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor, akibat cuaca buruk hari ini.

Mereka ialah Mohd Yazid Basir, 37; Zamri Romli, 39; Mohd Razwan Hussin, 48; Hamidi Rohani, 70, dan Tohid Sangon, 65, yang masing-masing berasal dari Tanjong Karang dan Jeram itu berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), 10.20 pagi tadi.

Ketua Stesen Stesen Udara Maritim Subang (SUMS), Syed Islam Shahajam berkata, ketika kejadian helikopter jenis AW139 dinaiki dua juruterbang dan tiga kru termasuk perenang penyelamat, sedang menjalankan rutin latihan penerbangan.

Difahamkan, pemancing tersebut melambai tangan sebaik melihat helikopter itu berlegar-legar untuk meminta pertolongan kerana bimbang keadaan menjadi lebih serius.

“Keadaan laut ketika itu bergelora dan merisikokan nyawa pemancing sekiranya mereka hanyut kerana tidak memakai jaket keselamatan.

“Semua mangsa diselamatkan apabila perenang penyelamat berjaya membawa mereka naik ke dalam pesawat dengan menggunakan teknik ‘winching’,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Jelas beliau, lima pemancing itu kemudian diterbangkan ke SUMS dan diberikan rawatan awal oleh lima ambulans dari Hospital Sungai Buloh, Shah Alam dan Tunku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) selepas didapati dalam keadaan lemah dan trauma.

Lima lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.