
Katanya, badan kehakiman sepatutnya menjadi tunjang kepercayaan mutlak rakyat terhadap benteng utama kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata, Umno memandang berat pendedahan terhadap Nazlan Mohd Ghazali mengenai tuduhan penglibatannya dalam penubuhan SRC International Sdn Bhd, sedangkan beliau adalah hakim yang menjatuhkan hukuman ke atas Najib.
“Dengan tidak berhasrat untuk mencampuri urusan mahkamah, Umno amat dukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib memasukkan bukti tambahan membabitkan Nazlan menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
“Kedudukan Nazlan sebagai peguam dan setiausaha Maybank pada 2006 sudah tentu memberikan akses besar kepada beliau dalam isu pentadbiran bank berkenaan, termasuklah bagaimana wang RM42 juta iaitu sebahagian daripada RM140 juta yang dipinjamkan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development, boleh dipindahkan ke akaun Najib, yang akhirnya menjadi punca dakwaan ke atas beliau (Najib),” katanya dalam kenyataan.
Zahid berkata, sudah menjadi amalan etika am kehakiman di seluruh dunia bahawa mana-mana hakim yang sedang mendengar sesuatu kes perlu mengecualikan dirinya jika beliau berada dalam keadaan konflik kepentingan sama ada semasa atau sebelum menjadi seorang hakim.
Katanya, jika keadaan itu berlaku, hakim terbabit perlu mengecualikan dirinya dalam mendengar atau memutuskan kes berkenaan.
“Lebih parah lagi jika ada sebarang cubaan untuk menyembunyikan fakta penglibatan yang terkait dengan konflik berkepentingan sejak dari awal proses penghakiman dijalankan.
“Umno bertegas untuk tidak sesekali mencampuri urusan mahkamah. Namun, kami percaya bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi ia juga mesti dilihat telah dilaksanakan,” katanya.