Serah LCS pertama dulu, tegas Hishammuddin berkait dana tambahan

Serah LCS pertama dulu, tegas Hishammuddin berkait dana tambahan

Menteri kanan pertahanan berkata kerajaan tidak mungkin mempertimbang dana tambahan jika BNS tidak mampu menyerahkan LCS pertama.

Hishammuddin Hussein (tengah) mengibar Jalur Gemilang pada pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat Kementerian Pertahanan dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera di Wisma Pertahanan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) perlu menyerahkan kapal tempur pesisir (LCS) pertama terlebih dulu sebelum dana tambahan bagi kapal seterusnya dipertimbangkan, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Katanya, bagi penyerahan kapal pertama tiada peruntukan tambahan disalurkan, namun tidak menolak suntikan dana tambahan bagi baki kapal lain jika kerajaan berpuas hati bagi penyerahan LCS pertama kepada tentera laut.

“Kalau pihak berkenaan tak dapat menyerahkan kapal pertama dalam masa ditentukan dengan peruntukan sedia ada, bagaimana kita boleh yakin akan dapat penuhi keperluan kita untuk dapat kapal lain. Ujiannya ialah kapal pertama dan ia tidak melibatkan suntikan kewangan baharu.

“ …(untuk kapal lain) mungkin (akan ada dana tambahan), tapi bagi saya buktikan dulu bahawa boleh siapkan kapal pertama, kalau kapal pertama tak boleh siap seperti dijadual tak guna kita fikir dana tambahan,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat Kementerian Pertahanan dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera di Wisma Pertahanan.

Hishammudin berkata, kapal pertama itu dijangka siap dalam tempoh satu ke dua tahun lagi memandangkan proses pembinaan sedang berjalan, termasuk lima kapal lain.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin memaklumkan, beliau telah membentangkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal LCS kepada Kabinet, hari ini, seperti dijanjikan.

Katanya, proses perbincangan di peringkat Kabinet masih berjalan dan ia akan diteruskan sehingga mendapat rumusan dan pendirian jelas, sebelum ia dipersembah kepada Agong untuk diperkenan.

“Ia masih dibincangkan di Kabinet, dan akan diteruskan dalam mesyuarat Kabinet akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada satu pun LCS disiapkan walaupun kerajaan sudah membelanjakan RM6 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.