
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, berkata pihaknya sudah menerima salinan laporan itu.
“Ini adalah lanjutan daripada syor PAC pada 4 Ogos dan keputusan Kabinet pada 10 Ogos 2022. PAC akan muat naikkan laporan ini ke portal PAC untuk rujukan semua,” katanya di Facebook.
Wong turut menyertakan surat bertarikh hari ini daripada Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri Sollehuddin Alyubi Zakaria, kepada sekretariat PAC memaklumkan bahawa laporan PAC telah dinyahklasifikasikan.
“Namun, setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara perenggan 2.39.1, 2.39.2, 2.39.4, Jadual 9, Jadual 10, Jadual 11 dan Jadual 18 telah dipadam” jelas Sollehuddin.
Beliau tidak menyatakan sebarang alasan di sebalik tindakan tersebut.
Wong sebelum ini menyuarakan kebimbangan “bahagian-bahagian” tertentu akan dikeluarkan selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata pada 10 Ogos bahawa Kabinet bersetuju menyahklasifikasikan laporan itu dan satu laporan forensik berasingan berkenaan isu tersebut.
Laporan dikeluarkan ini merupakan antara syor PAC dalam laporan mereka berkaitan projek LCS yang dibentangkan, dua minggu lalu.
Pada 4 Ogos, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal diterima setakat ini.
Wong mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lapuk daripada projek kapal peronda lama.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, berkata beliau akan membentangkan cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat projek LCS pada mesyuarat Kabinet, hari ini.