Kerajaan lambat, penternak tanggung akibat apabila sekatan ditarik, kata pembekal ayam

Kerajaan lambat, penternak tanggung akibat apabila sekatan ditarik, kata pembekal ayam

Baharudin Ahmad di NB Poultry Processing Industries berkata, penternak tidak dapat merancang untuk memenuhi permintaan baharu dari seberang.

Kebanyakan penternak takut membela ayam masa ini kerana tidak mahu berlaku lebihan, kata Baharudin Ahmad di NB Poultry Processing Industries. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemilik syarikat pembekal dan pembeli ayam khuatir masalah baharu akan muncul apabila sekatan eksport ditarik, akibat ketiadaan maklumat mengenai tempoh sekatan dan kelambatan kerajaan membuat keputusan.

Baharudin Ahmad di NB Poultry Processing Industries berkata, ketiadaan jawapan daripada kerajaan menyebabkan penternak kerugian kerana tidak dapat merancang untuk memenuhi permintaan baharu dari seberang.

Katanya, sebelum ini penternak mengehadkan pengeluaran ayam untuk pasaran tempatan sahaja susulan sekatan eksport.

“Kebanyakan penternak takut nak bela ayam masa ini kerana tidak mahu berlaku lebihan,” katanya kepada FMT.

“Kerajaan terlalu lama tak beri jawapan. Nak sekat berapa bulan? Ayam besar-besar yang sepatutnya dihantar ke Singapura ‘sangkut’ di ladang.”

Syarikat Baharudin selaku “penyepadu” membekalkan anak ayam, dan makanan dan ubatan burung kepada penternak, serta membeli ayam matang daripada mereka.

Beliau menambah, pasaran tempatan dibanjiri ayam yang sebelum ini diternak untuk pasaran Singapura, serta ayam beku import.

Katanya, kelambatan kerajaan membuka sekatan eksport, selain membuka seluasnya kemasukan ayam beku dari luar, begitu memberi kesan kepada penternak.

“Kalau nak diambil kira ia akan rosakkan dan ‘bunuh’ penternak,” katanya.

Kerajaan menyekat eksport ayam bermula 1 Jun untuk mengukuhkan bekalan makanan dan menstabilkan harga makanan.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dilaporkan sedang mengkaji semula sekatan eksport itu, ekoran permintaan daripada penternak dan lambakan bekalan ayam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.