Agong terima darjah tertinggi Turki daripada Erdogan sempena lawatan negara

Agong terima darjah tertinggi Turki daripada Erdogan sempena lawatan negara

Anugerah disampaikan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan itu menjadikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Ketua Negara ASEAN pertama menerimanya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima pingat tertinggi kerajaan Turki daripada Presiden Recep Tayyip Erdogan. (Gambar Bernama)
ANKARA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima darjah tertinggi kerajaan Turki, Turkish Order of the State sempena lawatan negara.

Anugerah tertinggi yang disampaikan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden itu menjadikan baginda Ketua Negara ASEAN pertama menerima anugerah berprestij tersebut.

Seri Paduka antara lima pemimpin negara yang menerima pingat tersebut di bawah pimpinan Erdogan selain Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz, Raja Belgium Raja Philip, Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al- Jaber Al-Sabah dan Presiden Tunisia Beji Caid Essebsi.

Sementara itu, dalam majlis sama, Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan anugerah darjah tertinggi negara Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) kepada Erdogan.

Darjah kebesaran D.M.N dikurniakan kepada Sultan atau Raja yang memerintah negeri namun darjah kebesaran itu juga boleh dikurniakan secara kehormat kepada warga asing serta orang paling dihormati.

Selain Erdogan, antara penerima kehormat luar negara pernah dikurniakan D.M.N sebelum ini antaranya Ratu Elizabeth, Emir Qatar Sheikh Hamad Khalifa Al-Tahni, Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz dan isteri Sultan Brunei Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Selepas pengurniaan anugerah itu, Seri Paduka kemudiannya berkenan menyaksikan Konsert Tradisional yang dihoskan Erdogan.

Turut mengiringi Seri Paduka, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda baginda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Terdahulu, Seri Paduka berdua berkenan menghadiri Jamuan Negara bersama Erdogan dan isteri Emine Erdogan di Istana Presiden selepas Sambutan Negara.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri mempunyai jadual padat sepanjang lawatan negara selama tujuh hari di Ankara dan Istanbul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.