
Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata pihak polis telah menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 19 tahun mendakwa telah dirogol secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki tempatan.
“Mangsa mendakwa kejadian berlaku sekitar pukul 1 pagi apabila mangsa telah pergi ke rumah suspek pada malam tersebut kerana diajak untuk keluar makan bersama-sama oleh salah seorang suspek yang dikenalinya.
“Susulan kejadian itu, kita melakukan serbuan di dua lokasi berasingan di kawasan Saujana Damansara Damai serta Bandar Sri Damansara dan berjaya memberkas tiga suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 23 tahun,” katanya menurut Kosmo.
Katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai tukang gunting rambut, pemandu lori dan penghantar makanan mengaku terlibat dalam kes berkenaan.
Ku Mashariman berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod.
Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.