Iktibar LCS: Lebih baik beli siap daripada tiris, ahli akademik tegur kerajaan

Iktibar LCS: Lebih baik beli siap daripada tiris, ahli akademik tegur kerajaan

Mizan Mohammad Aslam dari Universiti Malaysia Perlis berkata lebih baik aset dibeli siap daripada membangunkan teknologi tanpa kemampuan.

Kapal tempur pesisir (LCS) yang dalam pembinaan di Lumut, Perak.
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik menyarankan kerajaan lebih cermat susulan kontroversi projek kapal tempur pesisir (LCS), mengatakan lebih baik aset pertahanan dibeli siap daripada pembekal daripada membangunkan teknologi tanpa kemampuan, bagi mengelak ketirisan.

“Lebih baik kita beli terus kapal siap daripada membangunkan teknologi jika kita tak ada kemampuan,” kata pakar kajian strategik dan antikeganasan, Mizan Mohammad Aslam di Universiti Malaysia Perlis, yang menambah kerajaan harus pastikan isu ketirisan dalam perolehan aset tidak berulang.

Projek LCS menarik perhatian negara selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) melaporkan tiada satu kapal pun berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan Kementerian Pertahanan dan kontraktor, Boustead Naval Shipyard telah mengabaikan pandangan tentera laut mengenai projek itu.

Mizan menyarankan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang telus untuk menilai perbincangan terbuka mengenai projek ketenteraan seperti LCS, dan tafsiran rahsia kontrak-kontrak terlibat.

“Jika tafsiran itu tidak dilakukan dengan betul, ditakuti akan disalah guna oleh pihak tertentu sebagai alasan untuk mengelak dituduh salah guna kuasa,” katanya.

“Alasan itu tidak boleh dibuat hanya untuk melindungi pihak tertentu,” katanya.

Beliau menambah kerajaan harus menunjukkan ia tidak akan bertolak-ansur dengan kelemahan yang didakwa berlaku dan mana-mana pihak yang menyebabkan negara kerugian, “dengan mengenakan hukuman setimpal”.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kepada pihak berkaitan.”

Di samping itu, Mizan menegaskan sudah sampai masa kerajaan membina kemampuan membangun teknologi pertahanan menerusi universiti awam.

“Kita mempunyai 21 universiti awam dengan pelbagai kepakaran yang boleh bangunkan teknologi berdasar keperluan keselamatan kita sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.