
Ribut melanda pada 4 petang semala merosakkan 50 rumah di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Besol, Bandar Bukit Besi di Dungun.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Dungun dalam kenyataan berkata, kawasan lain terjejas ialah enam rumah di Taman Mulia, Taman Indah dan Taman Abadi masing-masing 13 rumah, Taman Setia (tujuh) dan Taman Madani (11).
Setakat ini, penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) telah menghantar atap ke rumah terlibat bagi proses penggantian dan pihaknya akan menyerahkan senarai penuh rumah berkenaan kepada Jawatankuasa Bencana Daerah untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim, berkata sebanyak 27 rumah membabitkan 135 penduduk di kawasan Cheneh dan Felda Neram di Kemaman dikenal pasti terlibat dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, keseluruhan kerosakan rumah penduduk yang kebanyakannya melibatkan bahagian bumbung setakat ini dianggarkan RM70,000.
“Bantuan bagi membaik pulih rumah penduduk akan disumbangkan oleh pejabat DUN Air Putih dan Felda,” katanya menurut Bernama.