Penyertaan PBM dalam BN masih jadi tanda tanya

Penyertaan PBM dalam BN masih jadi tanda tanya

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir berkata kesemua permohonan parti menyertai gabungan itu akan diperhalusi dan diumumkan nanti.

Bakal presiden Parti Bangsa Malaysia Zuraida Kamaruddin, berkata parti itu mahu menarik pengundi majmuk, namun Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abdul Kadir, malam tadi, tidak mengumumkan penerimaan komponen baharu dalam gabungan itu.
KUALA LUMPUR:
Status permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) diketuai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin menjadi komponen Barisan Nasional (BN) masih belum terjawab apabila tiada pengumuman rasmi dibuat gabungan itu.

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir, berkata belum ada sebarang keputusan berhubung kemasukan mana-mana parti baharu sebagai rakan komponen baharu.

“Kami merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti-parti tersebut atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama-sama dengan BN.

“Kesemua permohonan tersebut sedang diperhalusi oleh pihak urusetia BN,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong, berkata terdapat enam parti yang membuat permohonan menyertai BN.

Dalam pada itu, Presiden MIC S A Vigneswaran, berkata “terdapat lebih daripada satu permohonan parti diluluskan, secara keseluruhan”.

Terdahulu, PBM menyatakan hasrat untuk menyertai BN sejak Jun, mendakwa ia mampu meraih sokongan pengundi majmuk untuk gabungan itu yang ditunjangi politik berteraskan kaum.

Sebahagian pimpinan PBM terdiri daripada bekas ahli PKR, termasuk Zuraida yang pernah menjadi ketua wanita parti itu.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, berkata keputusan berhubung permohonan PBM itu dibuat secara konsensus, melibatkan Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Antara yang hadir di mesyuarat malam tadi Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad, presiden parti komponen dan ahli jawatankuasa tertinggi.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil bimbang kerjasama dengan PBM, yang dilihat dianggotai mereka yang didakwa ‘pengkhianat’ akan menyebabkan pengundi Melayu tawar hati dengan BN.

Zambry ketika mengulas lanjut, berkata BN bersetuju menubuhkan Puteri BN yang diketuai Zahida Zarik Khan.

Katanya, selain itu, pelantikan Bendahari BN Hishammuddin Hussein dilanjutkan bagi tempoh dua tahun lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.