Kemasukan pesakit Covid-19 kritikal di hospital awam naik 11.4%

Kemasukan pesakit Covid-19 kritikal di hospital awam naik 11.4%

Jumlah pesakit ke pusat penilaian Covid-19 di seluruh negara turut meningkat sebanyak 3.9%.

Penggunaan katil bukan kritikal turut meningkat kepada 26%, menurut Dr Noor Hisham Abdullah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah pesakit Covid-19 Kategori 3, 4 dan 5 yang dimasukkan ke hospital meningkat 11.4%, manakala pesakit Kategori 1 dan 2 bertambah 5.3% dari 7 hingga 13 Ogos lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan turut meningkat sebanyak 0.3% kepada 1.8% minggu lepas berbanding 1.5% pada minggu pertama Ogos.

Katanya, penggunaan katil bukan kritikal, unit rawatan rapi (ICU) dan pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) masing-masing turut meningkat kepada 26%, 16%, 6% berbanding 25%, 16% dan 6% pada minggu sebelumnya.

“Bilangan kes sembuh meningkat 1.1% (28,604 kes kepada 28,905 kes), bilangan kes baharu menurun sebanyak 6.6% (28,554 kes kepada 26,678 kes), sementara jumlah kematian statik sebanyak 60 kes pada minggu epidemiologi 32 antara 7 hingga 13 Ogos,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata, jumlah pesakit ke pusat penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara bertambah sebanyak 3.9% daripada 13,238 kes kepada 13,757 kes.

Bilangan kes baharu Covid-19 yang menjalani pemantauan di rumah bertambah sebanyak 2.1%, manakala kes dirujuk CAC ke PKRC dan hospital meningkat 66.4% (220 kes kepada 366 kes).

“Untuk trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya, pada akhir ME32 turun 5.5% berbanding pada akhir ME31 (66,182 kes kepada 62,516 kes).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.