Halangan untuk capai matlamat tenaga boleh diperbaharui

Halangan untuk capai matlamat tenaga boleh diperbaharui

Antara halangan itu ialah kos, daya maju dan kurang sokongan daripada kerajaan serta industri.

Tenaga suria atau angin mungkin ialah tenaga bersih, tetapi cuaca tidak menentu bermakna tiada jaminan untuk pengguna mendapat bekalan tetap. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyokong tenaga boleh diperbaharui (RE) mahu kerajaan mempercepatkan usaha menghasilkan RE, tetapi halangan seperti kos, daya maju dan kurang sokongan perlu diatasi terlebih dahulu.

Lionel Yap, bekas ketua sekretariat Persatuan Industri Photovoltaic Malaysia, berkata aperniagaan besar kini menjadikan RE kriteria dalam pilihan destinasi pelaburan mereka.

“Gergasi teknologi seperti Amazon, Google, Apple dan Microsoft menyasarkan Asia Tenggara untuk menubuhkan pusat data berskala besar mereka, dan kini Indonesia nampaknya mendahului saingan untuk menang,” katanya kepada FMT Business.

Syarikat ini sebahagian daripada RE100, inisiatif RE korporat global yang menghimpunkan perniagaan besar komited sepenuhnya terhadap penghasulan tenaga elektrik boleh diperbaharui.

Penyokong memetik beberapa alasan untuk penghasilan RE. Sebagai permulaan, harga arang batu, kini antara bahan utama untuk penjanaan elektrik, melonjak lebih USD300 (RM1,337) setan. Yap berkata, penggunaan RE lebih cepat akan menjimatkan banyak subsidi kerajaan.

Pemain industri mengakui penghasilan RE mempunyai cabarannya, oleh itu mereka memerlukan sokongan untuk mengatasinya.

Sebagai permulaan, masalah daya maju. Pengasas Gading Kencana Sdn Bhd, Muhamad Guntor Tobeng berkata, penjanaan tenaga suria di Malaysia memuncak hanya lima jam sehari – dari 11 pagi hingga 3 petang. Menjelang 7 malam, pengecasan tamat dan jika hujan, penjanaan kuasa menurun sebanyak 20%.

Tenaga suria kini menyumbang hanya 1.2% daripada semua tenaga elektrik yang dijana di Malaysia, kebanyakannya disebabkan banyak lesen operasi sudah dibatalkan dan terdapat kelewatan dalam menyiapkan projek loji solar berskala besar (LSS).

Biojisim kelapa sawit ialah satu lagi bahan mentah untuk penjanaan elektrik, tetapi kurang sokongan daripada kerajaan dan industri menyebabkan kebanyakannya mengetepikan cadangan itu.

Pengarah Urusan CMS Waste Management Sdn Bhd, Ronnie CW Tan berkata, beliau telah cuba dan gagal sejak dua dekad lalu untuk mendapatkan sektor kelapa sawit tempatan menukar tandan buah kosong (TBK) kepada biojisim bagi RE.

Katanya, lebih menyedihkan kerana lebih 25 juta tan EFB yang dihasilkan Malaysia dibazirkan setiap tahun.

Satu lagi faktor ialah kos. Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penggunaan biojisim mungkin tidak kos efektif seperti dijangkakan. “Ada kandungan lembapan tinggi, jadi kos pra-rawatan adalah tinggi.”

Ditambah tarif suapan dan kurang harga berdaya saing, ia tidak begitu berdaya maju. Hakikatnya, hanya sebuah loji pengeluaran biojisim masih beroperasi sekarang.

Parveez berkata, satu lagi masalah ialah kurang penyelarasan antara agensi kerajaan, pemain industri dan pemain RE.

Katanya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sedang mengkaji untuk memusatkan pengumpulan biojisim, bagaimanapun Tan berkata, idea itu dicadangkan “beberapa dekad lalu”, tetapi belum menjadi kenyataan.

Berdasarkan cabaran sedemikian, RE nampaknya tidak akan menjadi tunjang utama dalam penjanaan elektrik di Malaysia dalam waktu terdekat, tetapi masih ada harapan kerana Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengumumkan kerajaan bercadang menjadikan Malaysia sebagai hab biojisim menggunakan bahan diperolehi daripada sisa agrikomoditi.

Ini katanya, bukan saja dapat mengurangkan pembaziran, tetapi menjana pendapatan. ia sesuai dengan status negara sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia dan penyumbang terbesar dalam industri biojisim.

Konsep menggunakan efluen dari kilang kelapa sawit untuk menjana elektrik dimulakan di bawah program transformasi ekonomi sejak 2010 dan 50 loji biogas sudah menjana kuasa untuk grid sehingga 2020.

Laluan ke arah penggunaan EV secara meluas masih panjang, tetapi ia sudah dimulakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.