Wanita BN mahu kerakyatan automatik melalui ibu

Wanita BN mahu kerakyatan automatik melalui ibu

Ketua Wanita BN Noraini Ahmad berkata kerajaan perlu meminda undang-undang agar perkataan 'ibu' dimasukkan dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 1(b) Bahagian II.

Ketua Wanita BN Noraini Ahmad berkata pergerakan itu mahu menubuhkan Universiti Wanita dan Bank Wanita, antara enam resolusi dicadangkan sebagai tawaran baharu kepada rakyat menjelang pilihan raya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Wanita Barisan Nasional (BN) menggesa kerakyatan automatik diberikan kepada kanak-kanak lahir di luar negara yang beribukan warganegara Malaysia, kata ketuanya, Noraini Ahmad.

Katanya, pergerakan itu mahu kerajaan meminda undang-undang agar perkataan “ibu” dimasukkan dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 1(b) Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

“Satu lagi yang Wanita cakna ialah isu kerakyatan automatik kanak-kanak yang lahir di luar negara dan beribukan warganegara Malaysia, yang masih belum selesai.

“Kita memohon supaya pihak kerajaan meminda Perlembagaan Negara agar perkataan ‘bapa’ dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 1(b) Bahagian II Perlembagaan Persekutuan, dipanjangkan kepada ‘ibu’ atau ditukarkan kepada ‘ibu bapa’,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penangguhan Konvensyen Wanita BN.

Pada 5 Ogos, Dalam keputusan berbelah bahagi, Mahkamah Rayuan memutuskan anak yang dilahirkan ibu rakyat Malaysia boleh dinafikan kerakyatan berdasarkan kuat kuasa undang-undang.

Pengerusi panel itu, Kamaludin Md Said dan Azizah Nawawi menjadi majoriti bersetuju, manakala S Nantha Balan membantah.

Majoriti berkata, istilah “bapa” dalam Jadual Kedua Bahagian 11 Perlembagaan Persekutuan bermakna bapa kandung dan tidak boleh diperluas kepada ibu atau ibu bapa. Kamaludin dan Azizah, yang menyatakan mereka mengikuti prinsip undang-undang dalam keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu, berkata ia terpulang kepada Parlimen, bukannya mahkamah untuk meminda Perlembagaan.

Dalam pada itu, Noraini mahu menubuhkan Universiti Wanita dan Bank Wanita sebagai antara enam resolusi dicadangkan sebagai tawaran baharu kepada rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, gabungan komponen itu juga mencadangkan wanita yang mempunyai anak berusia bawah dua tahun diberikan pilihan serta kelonggaran untuk bekerja dari rumah bagi memudahkan urusan penjagaan anak tanpa pemotongan gaji dan elaun.

Dalam ucapan pembukaan, Noraini turut menuntut kuota 30% calon pilihan raya diperuntukkan kepada wanita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.