Polis panggil 13 peserta protes LCS

Polis panggil 13 peserta protes LCS

Setakat ini 13 individu dikenal pasti dan mereka akan dipanggil ke IPD Dang Wangi dalam masa terdekat.

Peserta protes isu kapal tempur pesisir (LCS) berhimpun di depan pusat membeli-belah Sogo hari ini.
PETALING JAYA:
Polis membuka kertas siasatan terhadap peserta terlibat dalam protes kapal tempur pesisir (LCS) di hadapan kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur petang tadi.

Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, berkata setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti 13 individu terlibat dalam himpunan itu.

“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur telah membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012

“Seramai 13 individu telah dikenal pasti dan semua yang terlibat dalam himpunan tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi siasatan yang dijalankan dalam masa terdekat” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemerhatian lebih kurang 60 individu terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik terlibat dalam himpunan itu.

Protes yang berlangsung dalam hujan di depan Sogo itu bermula kira-kira 2 petang dengan semua peserta memakai baju berwarna hitam.

Mereka turut membawa replika LCS dan plakad dengan tulisan antaranya “H20 letak jawatan”, “buang penyamun”, “RM6 bilion hilang”, “kapal hilang radar!” serta “Jawab surat panglima TLDM”.

Turut kedengaran laungan “hidup rakyat” dan “mana LCS”. Peserta protes bersurai pada 3.30 petang.

Sebelum protes berlangsung, anggota polis menghalang kenderaan dari memasuki Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.