
Penganalisis ekonomi Wan Azrain Adnan berkata, sekatan eksport ayam yang dikenakan oleh kerajaan bermula 1 Jun lalu memberi kesan negatif kepada “ekonomi ayam” negara.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MATA Aerotech berkata, situasi bertambah buruk selepas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar dilaporkan berkata CoopMart akan mengimport ayam bermula September ini.
MATA Aerotech ialah sebuah organisasi berteraskan teknologi dron dalam sektor pertanian. Organisasi ini terbabit dalam pelbagai aktiviti berkaitan teknologi seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan dan pemasangan, pengujian, latihan, perkhidmatan serta analisis data. Analisisnya kebanyakan dibuat berdasarkan sumber industri di dalam penternakan ayam.
“Mengikut maklumat industri, kos penternakan ayam ialah antara RM6.30/kg–RM7.40/kg, manakala harga jualan ayam di ladang (ex farm price) ialah RM4.50/kg–RM4.80/kg.
“Ini bermakna pendapatan maksimum yang mampu diraih penternak ayam hanya RM6/kg (RM 4.80/kg + RM 1.20/kg), berbanding kos penternakan ayam paling minimum iaitu RM6.30/kg. Oleh itu, penternak ayam mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM0.30/kg,” katanya kepada FMT.
Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) Jeffrey Ng pula berkata, penternak di dalam negara ini sememangnya telah mengalami kerugian sejak sebulan lebih yang lalu berikutan penjualan ayam di bawah harga siling.
“Kerugian (penternak) tertakluk kepada kos-kos penternak itu sendiri. Mana boleh cukup (modal). (Harga dijual) di bawah siling harga,” katanya, dengan menambah bekalan ayam buat masa ini mencukupi.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada kerajaan perlu menghentikan sekatan eksport ayam dan tidak mengimport ayam lagi, sebaliknya isu berkenaan diserahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan.
Pada 4 Ogos lalu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee berkata, langkah intervensi untuk henti eksport ayam bersifat sementara. Tindakan sama turut diambil beberapa negara lain yang menghadapi masalah sama. Beliau berkata sebarang keputusan baharu mengenai sekatan eksport ayam ke Singapura akan dibincangkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sebelum dibawa ke Kabinet untuk diputuskan.
Sementara itu, Wan Azrain berkata, penternak ayam kecil dan sederhana mengalami kerugian lebih besar kerana kos mereka lebih tinggi berbanding syarikat besar yang mempunyai skala ekonomi serta fasiliti penternakan ayam moden. Ini menyebabkan ramai penternak ayam sukar meneruskan operasi dengan kos penternakan yang merugikan.
Beliau yang membuat analisis berdasarkan sumber industri itu berkata, meskipun pelaksanaan sekatan eksport ayam telah menstabilkan bekalan serta harga ayam di pasaran domestik, langkah itu mula menyebabkan lambakan bekalan ayam.
“Kerajaan mesti menyediakan polisi yang mampu menjana ekonomi ayam berdaya saing dan mampan, agar agenda keselamatan makanan negara terus terjamin. Pada masa sama, teliti secara terperinci cadangan agar sistem harga siling ayam digantikan dengan harga apung ayam yang ditentukan oleh pasaran,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membincangkan cadangan untuk membenarkan semula eksport ayam ke luar negara susulan permohonan penternak yang mahu kerajaan mengkaji semula larangan itu.
Katanya, perkara itu dalam perbincangan dan akan dibentangkan Ronald, termasuk jumlah pengeluaran ayam untuk bulan depan serta kesan sekiranya eksport dibenarkan.