
Penanam sayur-sayuran di Cameron Highlands berkata, pajakan tanah sekurang-kurangnya 30 tahun perlu disediakan untuk membolehkan mereka melabur dalam teknologi dan kaedah pertanian lebih moden.
Timbalan Presiden Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands, Lau Weng Soow berkata lebih banyak peruntukan diesel bersubsidi juga perlu disediakan kerana bahan api itu penting untuk penjana kuasa, pam air dan kenderaan di ladang terpencil.
Penternak pula meminta lebih banyak sokongan kerajaan, khasnya dalam melaksanakan sistem penternakan ayam moden dan garis panduan lebih jelas mengenai insentif cukai dijanjikan dalam belanjawan 2023.
Penasihat Persekutuan Persatuan Penternak, Jeffrey Ng berkata kekurangan garis panduan bermakna penternak tidak boleh menggunakan insentif untuk menambah baik operasi mereka.
Dua persatuan itu berkata, sokongan kerajaan penting dalam memastikan sekuriti makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import.
Lau memberitahu FMT, ramai petani kini beroperasi dengan pajakan sementara menyebabkan mereka enggan melabur dalam teknologi dan inovasi. Pajakan jangka panjang sekurang-kurangnya 30 tahun akan memberi jaminan diperlukan petani untuk menggunakan kaedah moden.
Mengenai peruntukan diesel, katanya: “Pemilik kereta mewah dapat lebih banyak subsidi daripada kami.” Petani generasi kedua itu berkata, petani bergelut dengan kenaikan kos keperluan pertanian ditambah kawalan harga ke atas hasil.
Belanjawan 2024 tidak menyediakan sebarang subsidi diesel untuk petani, tetapi kerajaan kemudian memperkenalkan bantuan tunai RM200 sebulan bagi mengurangkan kesan kos bahan api.
Ng berkata, penternak berharap kerajaan segera memberikan garis panduan insentif cukai untuk mereka patuhi dan terima insentif itu.
Antara insentif cukai dijanjikan dalam belanjawan 2023 ialah pengecualian cukai 100% selama 10 tahun untuk projek pengeluaran makanan baharu dan 100% elaun modal dipercepatkan serta pengecualian cukai bagi penternak ayam menggunakan sistem mesra alam.
Beliau berharap akan ada insentif dalam belanjawan 2025 untuk lebih banyak ladang ternakan ayam bertukar kepada sistem pintu tertutup.
Radin Firdaus Badaruddin, penyelidik keterjaminan makanan di Universiti Sains Malaysia, berkata kerajaan perlu meneliti isu zat dan makanan mampu milik dalam belanjawan.
Memetik laporan Mydin baru-baru ini mengenai kemerosotan jualan makanan runcit sebanyak 5% hingga 7%, Radin berkata, belanjawan itu perlu mempertimbangkan untuk memperluaskan program bantuan makanan MyKasih yang menyediakan bayaran tanpa tunai disasarkan buat golongan kurang berkemampuan.
Beliau turut meminta lebih banyak dana untuk meningkatkan rancangan makanan tambahan.