Mengenang rakyat Malaysia mangsa tragedi bom atom Hiroshima

Mengenang rakyat Malaysia mangsa tragedi bom atom Hiroshima

Nik Yusof Nik Ali dan Syed Omar Syed Mohammad Alsagoff meninggal dunia akibat radiasi, manakala Abdul Razak Abdul Hamid terselamat dalam kejadian tahun 1945 itu.

Kubur Nik Yusof Nik Ali, salah seorang daripada dua pelajar Malaysia yang terkorban dalam pengeboman bom atom di Hiroshima, Jepun (Gambar Aaron Denison)
GEORGE TOWN:
Setiap tahun, apabila dunia meratapi mangsa pengeboman atom Hiroshima, Jepun, yang berlaku pada 6 Ogos 1945, hanya segelintir yang mengingati tiga rakyat Malaysia yang turut menjadi mangsa.

Dua daripada mereka dikebumikan di Jepun. Seorang lagi terselamat.

Individu yang terselamat, Abdul Razak Abdul Hamid, disebut secara ringkas dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4, tetapi tidak Nik Yusof Nik Ali dan Syed Omar Syed Mohammad Alsagoff, kata Aaron Denison, penuntut pasca siswazah di Universiti Hiroshima.

“Nama Nik Yusof dan Syed Omar patut dimasukkan dalam buku teks sejarah di Malaysia,” katanya ketika ditemu bual FMT.

Syafiq Faliq Alfan

“Kerajaan Malaysia juga harus menganjurkan hari peringatan di Malaysia untuk mengiktiraf ketiga-tiga mereka sebagai mangsa perang.”

Syafiq Faliq Alfan, pembantu guru bahasa yang menetap di Kaita, Hiroshima turut bersetuju dengan berkata, mangsa pengeboman Hiroshima rakyat Malaysia berhak untuk lebih dikenali.

Nik Yusof dan Syed Omar masing-masing berusia 17 tahun dan Razak berusia 19 tahun ketika mereka dihantar ke Jepun dua tahun sebelumnya bawah satu program Jepun untuk jajahannya di Asia Tenggara.

Mereka antara 12 remaja dari Tanah Melayu yang terpilih, dan bersama 17 pelajar asing lain, mendaftar di Universiti Hiroshima untuk mengikuti pengajian pendidikan selepas latihan persediaan di Tokyo.

Apabila Amerika Syarikat (AS) menggugurkan bom atom di Hiroshima, pertama kali senjata nuklear digunakan di dunia, letupannya meratakan bandar itu dan mengorbankan lebih 150,000 orang.

Sukarelawan Malaysia dan Jepun mengunjungi kubur Nik Yusof di Kuil Kozenji. (Gambar Aaron Denison)

Pada 9 Ogos 1945, satu lagi bom dijatuhkan di Nagasaki. Kali ini, lebih 220,000 orang terkorban. Jepun menyerah kalah enam hari kemudian.

Nik Yusof dan Syed Omar meninggal dunia akibat radiasi letupan ketika cuba meninggalkan kampus mereka, yang berada hanya 1.5km dari tapak kejadian, kata Denison, memetik buku yang ditulis mengenai Nik Yusof.

Katanya, mayat Nik Yusof dibakar selepas ditemui berhampiran bandar Itsukaichi dan seorang sami Buddha kemudian menawarkan diri untuk membantu menguruskan pengebumian jenazahnya dalam upacara Islam di Kuil Kozenji.

Syed Omar meninggal dunia di Hospital Kyoto dan jenazahnya disemadikan di Kuil Enkoji di Kyoto.

Aaron Denison (kiri) bersama Keiko Aoki, penulis buku ‘Remembering Nik’. (Gambar Aaron Denison )

Denison berkata, buku bertajuk “Remembering Nik” yang ditulis oleh sukarelawan aman Hiroshima, Keiko Aoki, itu menceritakan bahawa seorang doktor bernama Hamajima menderma darahnya kepada Syed Omar yang cedera parah.

Hamajima bertanya kepada Syed Omar sama ada dia membenci orang Jepun kerana tragedi yang menimpanya dan dia menjawab: “Mengapa saya harus benci awak? Awak dan saya bersaudara kerana awak telah memberikan darah kepada saya untuk cuba selamatkan nyawa saya.”

Acara peringatan

Denison berkata, kubur Nik Yusof ialah satu-satunya kubur orang Islam di kuil itu. Acara peringatan diadakan di situ setiap tahun oleh kuil dan sekumpulan sukarelawan.

Aaron Denison

Syafiq berkata, Universiti Hiroshima turut membantu menganjurkan acara itu. Pihak universiti memaklumkan pelajar Malaysia mengenainya dan menyediakan pengangkutan ke kuil itu yang terletak sejauh 90 minit perjalanan.

Katanya, kebiasaannya Nurhaizal Azam Arif, seorang profesor madya rakyat Malaysia di Universiti Hiroshima City akan membantu dalam acara itu.

Syafiq berkata, kuil itu menganjurkan acara peringatan rasmi pada 1964, menjemput kedutaan dan ahli keluarga Nik Yusof.

“Acara peringatan tahun ini lebih istimewa kerana Nurhaizal sendiri membuat penyampaian mengenai kehidupan Nik Yusof,” katanya kepada FMT.

Acara peringatan bagi Syed Omar dilangsungkan oleh sukarelawan Jepun di kuburnya di Kuil Enkoji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.