
Presiden DPMM Abdul Halim Husin berkata, antara punca kegagalan Mara Digital Mall menarik pelanggan, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri, walaupun setelah lebih tujuh tahun diwujudkan, ialah persekitaran kedai terlalu “bersih” apabila banyak ruang kosong gagal diisi peniaga, selain tiada banyak pilihan ditawarkan.
“(Keadaan) berbeza dengan Low Yat yang sendat dengan barang jualan. Selagi boleh letak barang, mereka sumbat segala macam barang, tak kira baru keluar kilang atau terpakai … semua boleh dicari di Low Yat.
“Pengurusan Mara dan peniaga Bumiputera di Mara Digital Mall mungkin dapat tiru Low Yat. Pembeli, termasuk orang Melayu, lebih suka ke sana kerana mereka boleh dapatkan apa saja, termasuk penukaran dan sewa (barangan),” katanya kepada FMT.
Halim turut mengakui faktor lain kegagalan Mara Digital Mall menarik pelanggan ialah tiadanya “shopping complex effect” optimum seperti Low Yat disebabkan ketiadaan rantaian bekalan meluas.
“(Peniaga) Low Yat juga menawarkan pelbagai pengkhususan, seperti kedai komputer yang menjual terus daripada kilang. Ada yang memasang komputer menggunakan bahan pilihan pembeli, malah ada kedai menjual komputer terpakai dan ‘recon’,” katanya.
Katanya, pusat beli-belah Bumiputera tidak mungkin berjaya hanya dengan menekan faktor lokasi dan insentif sewa jika pendekatan serta promosi setanding Low Yat gagal dilaksanakan. Bagaimanapun, katanya, Mara Digital Mall masih mempunyai ruang untuk kembali gah jika diurus dengan baik.
Sementara itu, Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (Puim) Mohd Azrul Mohd Nor mengakui pemilihan lokasi strategik penting untuk Mara Digital Mall hidup selain penjenamaan semula dan promosi lebih agresif, termasuk di media sosial yang pada masa ini banyak mempengaruhi sikap pembeli.
“Mara Digital Mall boleh dihidupkan dengan membangunkan ciri-ciri menarik, seperti penjual banyak menawarkan harga dan menyediakan tawaran lebih kompetitif, serta pemasaran tersusun dalam media sosial untuk menggalakkan pendedahan lebih meluas bagi Mara Digital Mall melalui kempen strategik,” katanya yang juga pembekal barangan IT.
Selain itu, beliau bersetuju Mara Digital Mall perlu menjadikan Low Yat penanda aras untuk menarik pelanggan, selain turut melihat contoh di luar negara.
“Pada masa sama, rantaian bekalan daripada pembekal kepada peruncit mesti dirangka dengan lebih jelas kerana ini mungkin dimonopoli oleh sebahagian pihak yang sudah lama dalam industri tersebut,” katanya.
Beliau turut berharap pihak pengurusan, termasuk Mara sendiri, mengurangkan karenah birokrasi dengan memudahkan segala usaha memantapkan kembali pusat itu.
Sebelum ini, FMT melaporkan peniaga Mara Digital Mall meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob campur tangan untuk menghidupkan semula kawasan itu yang kini suram dan sepi tanpa pelanggan.
Peniaga pusat jualan peralatan telekomunikasi dan teknologi maklumat itu menagih lagi “sentuhan” Ismail yang mencetuskan penubuhan premis khusus untuk usahawan Bumiputera itu ketika menjadi menteri luar bandar dan wilayah pada 2015.