Kerajaan sedia dana hidupkan semula Mara Digital Mall

Kerajaan sedia dana hidupkan semula Mara Digital Mall

Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid berkata agensi itu turut menyediakan bantuan pembiayaan kepada usahawan di pusat jualan peralatan telekomunikasi dan teknologi maklumat itu.

Mahdzir Khalid berkata, Mara akan meneruskan usaha Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mencetuskan penubuhan Mara Digital Mall, ketika menjadi menteri luar bandar dan wilayah, pada 2015. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan peruntukan penyelenggaraan Mara Digital Mall bagi menghidupkan semula pusat jualan peralatan telekomunikasi dan teknologi maklumat itu yang dilaporkan sepi tanpa pelanggan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid, berkata agensi itu turut memberi bantuan pembiayaan kepada usahawan di pusat berkenaan yang dicetuskan pembukaannya oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, ketika menjadi menteri luar bandar dan wilayah, pada 2015.

“Mara tidak meninggalkan kawasan itu, kami masih meneruskan usaha dan menyambung apa yang Ismail Sabri Yaakob buat pada waktu itu (tubuh Mara Digital Mall 2015),” katanya menurut Utusan Malaysia.

Pada 9 Ogos lalu, FMT melaporkan gesaan peniaga supaya Ismail campur tangan untuk menghidupkan semula Mara Digital Mall yang kini suram dan sepi tanpa pelanggan.

Peniaga di pusat jualan peralatan telekomunikasi dan teknologi maklumat itu, menagih ‘sentuhan semula’ Ismail yang mencetuskan penubuhan premis khusus untuk usahawan Bumiputera ketika menjadi menteri bertanggungjawab.

Rata-rata peniaga ditemui FMT mendakwa keadaan itu menyebabkan mereka beroperasi dalam kerugian, malah bertambah buruk ketika penularan Covid-19.

Mara Digital Mall yang dilancarkan pada 2015, diwujudkan di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuantan dan Shah Alam, namun kini hanya dibuka di ibu kota.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.