Jelaskan pembelian senjata RM854 juta, Ahli Parlimen gesa Tengku Zafrul

Jelaskan pembelian senjata RM854 juta, Ahli Parlimen gesa Tengku Zafrul

Jika dakwaan mengenai pembelian secara rundingan terus itu benar, Fahmi Fadzil berkata, itu amat membimbangkan.

Fahmi Fadzil menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi penjelasan mengenai dakwaan yang dibangkitkan seorang pemerhati politik baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menjawab dakwaan berhubung kelulusan pembelian meriam berat bernilai hampir RM1 bilion melalui rundingan terus.

“Dakwaan RM854 juta rundingan terus, pada ketika kita menyelongkar pelbagai masalah dan kerenah dalam skandal kapal LCS (yang juga dirunding terus), amat membimbangkan,” katanya dalam catatan di Facebook.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata demikian sebagai respons kepada catatan Facebook semalam oleh pemerhati politik dan penulis Zaharin Mohd Yasin yang memuat naik imej kelihatan seperti surat kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung pembelian itu.

Tambah Fahmi, amat membimbangkan jika surat itu sahih dan isu yang dibangkitkan Zaharin berhubung pembelian itu ternyata benar.

“Jika isu-isu yang didakwa Zaharin ini ada kebenaran, sebagai seorang Ahli Parlimen, saya teramat risau,” katanya.

Ini susulan skandal yang menyelubungi kontrak RM9 bilion bagi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd untuk enam kapal tempur pesisir (LCS) sebagai sebahagian daripada pelan pembaharuan armada tentera laut.

Beberapa kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan agar individu tertentu yang mempunyai kaitan dengan projek itu didakwa.

Skandal itu menjadi tajuk berita utama, dengan pelbagai pihak menggesa jawapan dan akauntabiliti berhubung kegagalan projek itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.