‘Bersihkan’ proses perolehan senjata, kata pakar ekonomi

‘Bersihkan’ proses perolehan senjata, kata pakar ekonomi

Pakar ekonomi politik berkata, sistem sedia ada tidak telus, justeru membuka ruang kepada salah guna dana.

Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd Azhar Jumaat sebelum ini memberitahu PAC bahawa RM400 juta daripada dana projek LCS digunakan untuk menyelesaikan hutang projek kapal peronda.
PETALING JAYA:
Skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS) membuktikan sistem perolehan ketenteraan harus diubah secara drastik, kata pakar ekonomi politik.

Edmund Terence Gomez berkata, sistem perolehan senjata sedia ada didapati tidak telus dan membuka ruang kepada salah guna dana.

“Sistem ini membolehkan projek mega seperti LCS, diberikan secara runding terus tanpa ada keperluan untuk didedahkan kerana proses itu dilindungi Akta Rahsia Rasmi,” katanya kepada FMT.

“Tanpa ada penelitian awam, kontrak diberikan pada harga melambung, yang kemudiannya membenarkan wang disedut dan digunakan untuk kegunaan lain seperti membayar hutang.”

Gomez mengulas pendedahan terbaru bahawa sebahagian dana LCS digunakan bagi membayar hutang kapal peronda generasi baharu (NGPV) seperti dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ahmad Nazim Abdul Rahman.

Perkara ini disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd Azhar Jumaat. Dalam keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Azhar berkata, RM400 juta digunakan untuk menyelesaikan hutang projek kapal peronda.

Gomez membangkitkan kebimbangan berhubung skandal berprofil tinggi membabitkan jumlah dana besar timbul di negara ini yang disifatkannya sebagai “isu tadbir urus”.

“Kita perlu bongkar serta merta sistem perolehan. Siasatan menyeluruh diperlukan untuk membawa pembaharuan bagi membersihkan sistem dan menjadikannya telus,” katanya.

Brigadier Jeneral (B) Arshad Raji berkata, menjadi satu kesalahan untuk menggunakan dana yang dikhususkan bagi projek LCS untuk tujuan lain.

“Bagaimana duit daripada projek itu dialihkan kepada perkara lain? Ini tidak betul dan tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Projek LCS mendapat perhatian ramai selepas PAC mengkritik kelewatan projek itu. Kapal pertama yang dilancarkan pembinaannya pada 2017 dijadualkan siap pada 2019 dan lima lagi secara berperingkat sehingga bulan ini.

Bagaimanapun, tiada satu daripadanya disiapkan dan diserahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.