
Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira menyifatkan serbuan itu “sia-sia” kerana operasi sedemikian tidak menyelesaikan punca masalah pendatang asing tanpa dokumen.
“Malaysia perlu memastikan keselamatan pekerja asing dalam semua sektor. Pencari suaka dalam proses mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) harus diberi perlindungan tambahan disebabkan status rentan mereka.”
Katanya, sebaik saja pencari suaka dibawa ke pusat tahanan imigresen, agensi pelarian UNHCR tidak lagi mempunyai akses kepada mereka untuk melengkapkan permohonan atau penempatan semula.
Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, 175 warga asing yang ditahan Selasa lalu terdiri daripada 115 warga Myanmar, Indonesia (33), Bangladesh (13), Nepal (9), Sri Lanka (4) dan India (1).
Katanya, sebahagian daripada mereka adalah pemegang kad UNHCR daripada etnik Shan di Myanmar dan mempunyai keluarga di sini.
Tetapi, hasil pemeriksaan turut mendapati beberapa pendatang mempunyai dokumen kerja palsu. Pemegang kad UNHCR dari Rakhine juga dikesan membawa pendatang asing tanpa dokumen tinggal bersama mereka.
Pereira mencadangkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mewajibkan serbuan imigresen hanya dilakukan dengan kehadiran mereka bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh anggota penguat kuasa.
Beliau memberi amaran tanpa perlindungan sedemikian, tahap tekanan tinggi dan rasa putus asa yang dihadapi pendatang asing tanpa dokumen boleh membawa kesan teruk kepada mereka.
Beliau merujuk insiden baru-baru ini, di mana seorang pelarian Myanmar berusia 28 tahun mencampak tiga anaknya sebelum dirinya terjun dari jejantas di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai dilaporkan berkata, lelaki itu yang juga pemegang kad UNHCR, mempunyai masalah mental sejak setahun lalu selepas sembuh daripada jangkitan Covid-19.
Seorang lagi aktivis, John Quinley dari Fortify Rights menyifatkannya ironi berhubung cara kerajaan mengendalikan pelarian Myanmar.
“Malaysia menuntut keadilan dan akauntabiliti atas jenayah kemanusiaan yang dilakukan junta di Myanmar. Tetapi, semasa serbuan imigresen, pihak berkuasa Malaysia menahan 115 warga Myanmar.”
Daripada menahan pelarian dari Myanmar, katanya, kerajaan sepatutnya memberi perlindungan kepada mereka.