
Berdasarkan jawapan kementerian terhadap pertanyaan FMT, projek LRT Bayan Lepas di tapak yang dikenali sebagai Pulau A belum diberi lampu hijau kerana penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi pulau itu belum diluluskan.
“Kelulusan terakhir skim kereta api belum diberikan,” kata jurucakap Kementerian Pengangkutan.
Pulau A sebahagian daripada projek Pulau Pinang Pulau Selatan yang dipertikaikan. Sebuah depoh akan dibina di sana.
Kelulusan skim kereta api adalah syarat untuk mana-mana projek kereta api di Semenanjung. Ini termaktub di bawah Seksyen 83 Akta Pengangkutan Awam Darat dan menteri pengangkutan mempunyai kata putus.
Pada 2019, JAS memberi kelulusan EIA penuh bagi Pulau A dan dua pulau lain. Bagaimanapun, ia dibatalkan selepas rayuan dikemukakan 185 nelayan pantai.

Rayuan itu dicabar di Mahkamah Tinggi oleh kerajaan Pulau Pinang, yang meminta kelulusan itu dikembalikan.
Selain EIA untuk tiga pulau itu, jajaran stesen di lapangan terbang Pulau Pinang adalah satu lagi penghalang.
“Ini akan dimuktamadkan oleh pemohon, kerajaan Pulau Pinang dan pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB),” kata kementerian itu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari memberitahu FMT, semua kelulusan berkaitan akan diperolehi sebaik saja EIA disahkan.
Katanya, perkara berhubung lapangan terbang Pulau Pinang telah diselesaikan dengan MAHB.
Kelulusan skim kereta api, katanya, tiada kesan dalam proses pra-kelayakan bagi pihak yang berminat dengan projek itu.
Terdahulu, didedahkan lebih 40 syarikat menunjukkan minat untuk membina projek LRT itu melalui pembiayaan swasta. Laluan LRT itu sejauh 26.8km dengan 23 stesen antara Komtar dan Bayan Lepas.
Pulau Pinang meminta dana persekutuan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) kerana projek pengangkutan awam dibiayai Putrajaya.
Tetapi, ia kini mahu mendapatkan pembiayaan swasta memandangkan tiada maklum balas baik daripada Putrajaya terhadap permintaan itu.