Kelengkapan LCS tidak usang, BNS sangkal PAC

Kelengkapan LCS tidak usang, BNS sangkal PAC

Kelengkapan yang dibeli secara pukal mempunyai kapasiti jangka hayat melebihi 25 tahun seperti termaktub dalam kontrak pembelian bersama pembekal.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan dengan kos keseluruhan RM9 bilion.
LUMUT:
Kelengkapan kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM1.7 billion yang dibeli secara pukal disimpan di stor Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) akan digunakan sepenuhnya dan ia tidak usang.

Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Azhar Jumaat, berkata tidak timbul isu kelengkapan itu tidak boleh digunakan seperti didakwa Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, semalam.

“Ia disimpan untuk tempoh yang lama dan memerlukan pemeliharaan dan penyelenggaraan semasa dalam simpanan.

“Semua peralatan itu diperakui dan tidak usang serta boleh digunakan 25 tahun lagi dari sekarang,” katanya kepada media sambil memaklumkan perkara itu termaktub dalam perjanjian bersama pembekal.

Azhar Jumaat.

Sejak tercetus isu berkaitan projek LCS minggu lalu, ini kali pertama media diundang BNS ke tapak pembinaan kapal itu di Lumut.

Sebanyak 48 pengamal media menyertai sesi lawatan ke tapak pembinaan LCS itu.

Semalam, Wong dalam kenyataan menceritakan “kisah sedihnya” ketika membuat lawatan ke BNS pada 11 Dis lalu.

Wong berkata, ketika beliau dan rombongannya dari Kementerian Pertahanan, Tentera Laut Diraja Malaysia, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd dan BNS ke stor, didapati terdapat 13 gudang menyimpan peralatan LCS dan lapan lagi BNS General Store yang mempunyai campuran LCS dan peralatan am.

Menurut Wong, pihaknya dimaklumkan jumlah nilai peralatan dalam simpanan ialah RM1,757,791,266.02 dengan lebih kurang 15% daripadanya telah usang melibatkan kerugian RM263,668,689.90.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan dengan kos keseluruhan RM9 bilion. Kontrak bagi projek itu bermula 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Minggu lalu, PAC dalam laporannya menyatakan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS, yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Wong sebelum ini mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

PAC melalui laporannya juga mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS itu, selain mengesyorkan tujuh langkah.

Ia termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap dapatan laporan PAC itu, Laporan Audit Forensik dan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

Selain itu, Kementerian Pertahanan perlu mengemukakan laporan kemajuan kepada PAC setiap tiga bulan sehingga projek berkenaan disiapkan dan laporan JKSTUPKK dinyahklasifikasikan.

SPRM sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan pengendalian LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.