‘Inilah cara balas budi mak’, Ilham tak jemu bantu ibu niaga sejak kecil

‘Inilah cara balas budi mak’, Ilham tak jemu bantu ibu niaga sejak kecil

Remaja jual nasi lemak dan kuih-muih dimasak ibunya hampir setiap hari selepas pulang dari sekolah sejak berusia 10 tahun.

Mohammad Ilham Mohd Fazil membantu ibunya menjual nasi lemak dan kuih-muih di stesen LRT Setiawangsa tanpa meminta sebarang upah.  (Gambar Facebook FS Channel)
KUALA LUMPUR:
“Tak sampai hati nak ambil upah dari mak, kesian mak penat masak,” itulah kata-kata dari Mohammad Ilham Mohd Fazil yang tular kisahnya membantu ibunya menjual kuih pulut panggang setiap hari di LRT Setiawangsa sejak berumur 10 tahun.

Menginjak usia 16 tahun, Ilham belum mengenal erti jemu keluar menjual nasi lemak dan kuih-muih yang dibuat ibunya hampir setiap hari selepas pulang dari sekolah.

Lebih mengharukan, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak pernah mengambil upah walau sesen, sebaliknya hasil jualan diserahkan sepenuhnya kepada ibu.

“Inilah cara saya nak balas budi mak…sementara saya masih ada mak, inilah masa saya nak balas pengorbanan mak. Kalau dah besar nanti mak dah tiada, macam mana saya nak balas budi mak?” katanya ketika ditemui di kediamannya di Keramat.

Bercita-cita bergelar pegawai di Petronas, Ilham berkata, meskipun perlu membantu ibu berniaga, dia yang juga aktif dalam bidang sukan, sentiasa mencari waktu untuk belajar dan menyiapkan kerja sekolah.

“Biasa malam pergi masjid sekejap, lepas itu balik rumah siapkan kerja sekolah. Kena pandai susun masa supaya tak ganggu belajar, cikgu-cikgu pun tahu saya berniaga tolong mak,” ujarnya yang berhasrat menyambung pengajian ke menara gading.

(Dari kiri) Mohammad Ilham Mohd Fazil bersama abangnya, Mohammad Iman Syah Mohd Fazil dan Muhammad Firdaus Mohd Fazil serta ibu mereka, Rita Amri.

Sementara itu, ibunya, Rita Amri, 42, berkata meskipun kehidupannya tidak semewah orang lain, namun beliau bersyukur memiliki anak-anak yang prihatin dan sanggup meringankan bebannya.

“Saya syukur saja nikmat yang ada, kami bahagia walaupun serba kekurangan. Anak-anak walaupun semuanya lelaki, ringan tulang tolong, bila disuruh mereka buat. Lagi-lagi Ilham ini ramai sayang, sebab rajin tolong mak, solat tak tinggal,” katanya.

Bercerai dengan suaminya sejak 2014 dan menggalas tanggungjawab membesarkan empat anak yang kini berusia 20, 18, 17 dan 16 tahun, Rita berkata, hasil jualan kira-kira RM70 sehari tidak mencukupi, ditambah pula kos sara hidup tinggi.

Namun, itu tidak dijadikan alasan untuk menaikkan harga jualan, sebaliknya kuih yang dijual masih mengekalkan harga sama dengan kuantiti sama.

Pulut panggang berinti udang kering pedas yang dimasak enam jam oleh Rita Amri. (Gambar Facebook FS Channel)

“Sejak mula berniaga memang harga sama, kuantiti sama dan kekalkan rasa yang sama, sebab itu masak lama sampai nak enam jam, kuih tak cepat basi dan tahan lama, biarlah kenyang orang makan, kita jual murah pun tolong orang juga,” ujarnya.

Rita yang juga penerima bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan berkata, dia bersyukur mempunyai jiran-jiran yang prihatin terhadap nasibnya.

“Syukur, jiran-jiran semua baik. Sebelum ini rumah ini tiada apa pun, tetapi sekarang jiran bagi peti ais, kipas, tilam untuk kami sekeluarga guna,” katanya yang menetap di rumah kecil satu bilik bersama tiga anaknya, sementara seorang lagi tinggal bersama bekas suami.

Terdahulu, kisah adik Ilham kembali hangat menerusi laman YouTube FS Channel, apabila rata-rata warganet terharu melihat budi bahasa dan kecekalan remaja itu membantu ibunya mencari rezeki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.