
Pengarah SPRM Kedah, Shaharom Nizam Abd Manap, berkata pihaknya sudah meneliti hampir semua minit mesyuarat exco kerajaan negeri berkaitan projek itu dan mengambil dokumen berkaitan sebelum ini.
Katanya, penelitian awal ke atas semua dokumen berkenaan tidak mengesan sebarang unsur salah laku atau penyelewengan yang boleh diambil tindakan mengikut bidang kuasa SPRM.
“Bagaimanapun, kita tidak tolak kemungkinan meneruskan siasatan lanjut berkaitan projek ladang durian ini, sekiranya mendapat maklumat baharu yang boleh dikaitkan dengan bidang kuasa kami.
“Setakat ini, tidak ada laporan rasmi dibuat kepada SPRM berkaitan kes ini. Sebaliknya, kita yang mengambil inisiatif memulakan siasatan termasuk ke Wisma Darul Aman bagi mendapatkan dokumen berkaitan,” katanya menurut Harian Metro.
Pada 10 Julai lalu, SPRM Kedah mengumumkan memulakan siasatan bagi melihat kemungkinan berlaku perbuatan salah laku sehingga menyebabkan bencana banjir lumpur dan aliran puing di Kampung Iboi pada 4 Julai lalu.
Berikutan itu, pegawai penyiasat dihantar meninjau keadaan bencana selain turut masuk ke Wisma Darul Aman bagi mendapatkan minit mesyuarat exco kerajaan negeri terdahulu berkaitan pelaksanaan projek ladang durian berkenaan.
Mengulas lanjut, Shaharom berkata, pihaknya turut merujuk laporan yang dibuat Pasukan Khas Siasatan Bencana-Tragedi Baling 2022 yang didapati menyentuh kejadian berkenaan secara lebih menyeluruh.
“Laporan dibentangkan itu sebenarnya lebih lengkap dan kita juga membuat rujukan ke atasnya bagi melihat sebarang perkara yang boleh dikaitkan, tetapi setakat ini tidak ada.
“Disebabkan itu, kita tangguh dahulu siasatan sehingga ada maklumat baharu diterima. Jika ada (maklumat baharu), kita boleh mulakan siasatan semula, namun ia perlu dilakukan mengikut bidang kuasa SPRM,” katanya.