Terkejut dengar orang Islam kecoh dalam surau, kata menteri

Terkejut dengar orang Islam kecoh dalam surau, kata menteri

Idris Ahmad berharap kes itu boleh diselesaikan menerusi perbincangan penduduk dengan pihak premis ibadat berkenaan.

Idris Ahmad berkata garis panduan penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau adalah tertakluk bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri masing-masing.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad terkejut apabila mendengar ada orang Islam membuat kecoh dalam surau.

Beliau berkata, perkara sedemikian agak pelik, namun berharap kes itu boleh diselesaikan menerusi perbincangan penduduk dengan pihak premis ibadat berkenaan.

“Saya secara peribadi pun tidak pernah dengar isu sebegini terutama di kawasan majoriti penduduk beragama Islam kerana sepatutnya tiada masalah pun,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Idris berkata, garis panduan penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau adalah tertakluk bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Terdahulu, media melaporkan polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun kerana mengamuk dalam surau selepas mendakwa kuliah Subuh terlalu bising sehingga mengganggunya, dalam kejadian di Ampang Campuran.

Dalam kejadian itu, suspek didakwa menyerbu masuk surau dan merampas mikrofon ketika penceramah sedang menyampaikan kuliah Subuh.

Suspek yang bekerja sebagai penjaga stor direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1956.

Bagaimanapun, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyiasat pentadbir surau susulan dakwaan pihak pengurusannya memasang pembesar suara di luar masjid ketika ceramah.

Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata arahan melarang penggunaan pembesar suara luar sudah dikeluarkan bermula 23 Okt 2017 kepada semua masjid dan surau di negeri itu.

Katanya, is selaras titah Sultan Selangor bahawa penggunaan pembesar suara hanya dihadkan dalam ruang atau dewan masjid dan surau sahaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.