Sistem pembayaran negara selamat dan terjamin, kata BNM

Sistem pembayaran negara selamat dan terjamin, kata BNM

Bank Negara berkata, bank-bank di Malaysia mengamalkan kaedah pengesahan yang mantap bagi transaksi kad secara dalam talian bagi mengurangkan risiko penipuan.

BNM sudah mengarahkan bank memaklumkan pemegang kad terjejas mengenai langkah tambahan untuk melindungi mereka daripada risiko transaksi penipuan atau tanpa kebenaran.
PETALING JAYA:
Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan sistem pembayaran bank kekal selamat dan terjamin, selepas pelanggaran keselamatan siber yang dialami penyedia pembayaran dalam talian, iPay88.

Bank pusat itu berkata, pelanggaran itu berpunca dan terbatas kepada sistem pembayaran kad ipay88 serta tidak melibatkan kelemahan sistem institusi perbankan.

BNM menegaskan bank di Malaysia mengamalkan kaedah pengesahan mantap bagi transaksi kad dalam talian, termasuk segera memaklumkan pemegang kad untuk pengesahan lanjut, jika terdapat transaksi yang dianggap “lebih berisiko”.

“Ini mengurangkan risiko berlakunya penipuan transaksi. Bagi transaksi tidak menggunakan pengesahan, khususnya pembelian daripada peniaga di luar negara, pelanggan tidak akan dipertanggungjawabkan atas sebarang penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran yang mungkin terjadi susulan insiden ini.

“BNM telah mengarahkan bank-bank untuk segera memaklumkan pemegang kad terlibat mengenai langkah perlindungan tambahan yang akan diambil untuk terus melindungi pengguna daripada risiko penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran.

“Bank-bank juga telah mempertingkatkan pengurusan risiko penipuan serta memantau aktiviti mencurigakan atau penipuan menggunakan kad-kad terlibat.”

BNM berkata, ia memandang serius sebarang insiden yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem pembayaran dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan sewajarnya bagi memastikan kawalan keselamatan kukuh dilaksanakan dan diamalkan bank.

Katanya, siasatan forensik sedang dijalankan ke atas pelanggaran data melibatkan iPay88.

Ia menasihatkan pelanggan segera memaklumkan kepada bank, jika terdapat transaksi luar daripada kebiasaan atau tanpa kebenaran yang menggunakan kad mereka.

Semalam, iPay88 mengesahkan ia mengalami pelanggaran keselamatan siber lebih dua bulan lalu yang mungkin menjejaskan data kad pengguna.

Firma e-dagang itu berkata, siasatan dimulakan sejak 31 Mei lalu dan sedang dijalankan dengan bantuan pakar keselamatan siber untuk membendung isu itu, tetapi “tiada lagi aktiviti mencurigakan dikesan sejak 20 Julai”.

Jabatan Perlindungan Data Peribadi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah memulakan siasatan berhubung pelanggaran keselamatan siber itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.