
Dalam kejadian kira-kira 5.40 pagi Khamis itu, Saharuzaman Abd Wahab, 48, yang parah di bahagian kepala maut di tempat kejadian, manakala Kamarulzaman Abu Bakar, 52, dan Mohd Afiq Mohd Noor, 23, dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang maut itu bekerja sebagai mekanik dan dua rakannya adalah pemandu serta kelindan lori.
Ketika kejadian, katanya, semua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Perodua Axia yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan.
“Dalam masa sama, sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun bersama isteri dan anaknya dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar kereta mangsa.”
Beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan semua mangsa dalam kereta Axia tercampak keluar, sementara pemandu pacuan empat roda bersama dua penumpangnya tidak cedera.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.